SPRM tumpaskan sindiket PLKS, tahan dalang utama

112

6 APRIL : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk dalang utama berpangkat Datuk dan pegawai Imigresen yang disyaki terbabit dengan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang menyebabkan kerugian berjuta ringgit kepada negara dalam bentuk levi pekerja asing.

Sindiket terbabit juga dikatakan mengaut keuntungan berjuta ringgit dengan menjual dokumen PLKS dengan harga antara RM6,000 hingga RM8,000 setiap satu kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.

Lebih mengejutkan dan menakutkan apabila sindiket berkenaan juga berupaya ‘memadamkan’ status warga asing yang disenaraihitamkan atau ‘Red Alert’ atau individu dikehendaki bagi membolehkan mereka melepasi kawalan keselamatan di pintu masuk utama ke Malaysia terutama di lapangan terbang antarabangsa dengan bayaran tertentu.

Sumber memberitahu, kesemua mereka yang berusia antara 33 tahun dan 43 tahun ditahan di 22 lokasi berasingan di ibu negara, sejak awal pagi Selasa.

Menurutnya, mereka ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen sejak setahun yang lalu.

Sumber memberitahu, sindiket itu dipercayai bergerak dengan kerjasama ‘orang dalam’ untuk menggodam pangkalan data Jabatan Imigresen dengan memasang transmiter.

Ujarnya, dengan itu, ia memberi akses kepada anggota sindiket terbabit untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat jabatan penguatkuasaan itu.

“Ini merupakan suatu pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.

“Keupayaan ahli-ahli sindiket menggodam sistem komputer Jabatan Imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Isu ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.

Menjelaskannya, modus operandi sindiket ialah menggodam sistem imigresen dengan memasang transmiter di bilik komputer Jabatan Inigresen hasil kerjasama orang dalam.

“Sindiket ini berupaya menggodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah. Walhal ianya hasil tindakan penggodaman sistem Jabatan Imigresen,” tambahnya lagi.

Kesemua operasi dilakukan di luar pejabat Jabatan Imigresen menggunakan transmiter dan sistem yang diklonkan dari pangkalan data imigresen.

Dalam serbuan itu, sumber memaklumkan, pasukan penguat kuasa turut merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket ini.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail. Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi di sini pada Selasa mengesahkan tangkapan tersebut.



Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Beliau menegaskan bahawa siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.