Sekatan Sri Lanka terhadap minyak sawit tidak jejaskan Malaysia

47

6 APRIL : Sekatan Sri Lanka ke atas import minyak sawit Malaysia yang diumumkan semalam dijangka tidak menjejaskan industri komoditi utama negara memandangkan pasarannya semakin berkembang di beberapa negara lain seperti Afrika dan di Timur Tengah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata permintaan terhadap minyak sawit negara juga semakin meningkat di Filipina dan Vietnam, sekali gus membuktikan kualiti komoditi itu menjadi antara faktor yang membantu memperluas pasaran di peringkat global.

“Dunia mempunyai populasi rakyat melebihi tujuh bilion justeru minyak sawit Malaysia serta yang dikeluarkan Indonesia dan lima negara lain yang sedang bergerak ke arah industri sawit cukup untuk menampung keperluan dunia.

“Kita yakin minyak sawit kita pasti diterima di dunia. Kalau seorang tidak berminat, ramai lagi yang berminat dan yang penting kita berikan kualiti terbaik pada pengeluaran minyak sawit negara,” katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Lembaga Koko Malaysia dan melancarkan kiosk coklat di Hotel Lacrista.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia Dr Aliakbar Gulasan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata sekatan yang dikenakan Sri Lanka merupakan diskriminasi terhadap keluaran negara sedangkan minyak sawit Malaysia mempunyai kualiti terbaik dan telah mencapai 90 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Beliau berkata Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF) juga telah ditubuhkan bagi aktiviti konservasi sebagai usaha untuk menangani kempen antiminyak sawit.

“Antara isu yang ditimbulkan dalam usaha mendiskriminasi minyak sawit negara ialah aktiviti penebangan hutan yang didakwa dilakukan Malaysia namun sebaliknya negara ini mempunyai rizab hutan yang besar dan MPOGCF ditubuhkan semata-mata untuk menggalakkan aspek kehijauan dan kelestarian, maka tidak wajar kita dianaktirikan.

“Sri Lanka perlu mendapatkan maklumat lengkap daripada kerajaan Malaysia tentang usaha yang dilaksanakan agar hak kita untuk memasarkan minyak sawit di luar negara tidak dipertikaikan,” katanya.

Semalam, Reuters melaporkan Sri Lanka melarang atau menyekat import minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia selain menghalang pembukaan ladang kelapa sawit baharu.

Negara berkenaan dianggarkan mengimport kira-kira 200,000 tan minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia setiap tahun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.