Penerangan hukum pengambilan vaksin dilaksana sebaiknya

25

6 APRIL : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan tiada rungutan pegawai agama di bawah agensinya tidak berkomunikasi dengan cara yang tidak betul berkenaan pentingnya mengambil vaksin COVID-19, sehingga anti vaksin yang menggunakan sentimen agama berjaya mengambil kesempatan memperdaya orang ramai.

Zulkifli bersyukur kerana semua pegawai yang terlibat menyampaikan dengan sebaiknya seperti yang disarankan namun beliau mengakui gerak kerja perlu diperkemaskan dengan lebih giat dalam menyampaikan dakwah berkenaan kebaikan vaksin COVID-19.

“Setakat ini, Alhamdulillah disampaikan seperti yang disarankan cuma gerak kerja yang perlu disusun atur untuk dilebar luaskan lagi, dari segi jaringan, ceramah, media massa termasuk di televisyen dan radio akan dipegiatkan lagi.

“Walau bagaimanapun, seperti mana saya lihat, kebaikan pengambilan vaksin COVID-19 diberitahu kepada rakyat dengan sebaik mungkin dan mereka yang berkaitan dalam bidang tersebut akan kemukan jawapan atau sejumlah nasihat kepada khalayak masyarakat dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Muhadharah Ilmiah dan Majlis Apresiasi ILIM 2021 di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Terdahulu, menerusi laporan Bernama, Prof Madya Dr Malina Osman dari Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) memaklumkan hujah agama yang diguna pakai golongan profesional bukan daripada bidang perubatan dan penjual produk alternatif mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin.

Beliau berkata, ibu bapa yang termakan hujah kedua-dua golongan itu hanya akan menyukarkan tugas kerajaan menangani kes penyakit kerintangan vaksin yang direkod meningkat saban tahun.

Dr Malina menegaskan golongan antivaksin cenderung menggunakan hujah agama seperti isu penggunaan bahan tidak halal, sedangkan isu berkenaan sudah lama diatasi menggunakan teknik kejuruteraan sel yang menghasilkan vaksin tanpa pembabitan haiwan haram di sisi syarak.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan prosedur operasi standard (SOP) solat tarawikh, SOP bagi semua aktiviti ibadah di masjid dan surau sepanjang Ramadan termasuk solat Tarawih, akan diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, bagi Wilayah Persekutuan, SOP akan diselaraskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), manakala negeri lain ditentukan Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

“Insyallah, akan diumumkan sebelum Ramadan, SOP biasanya sama seperti solat biasa cuma ambil masa sedikit…ada beberapa perkara yang mungkin dinyatakan dalam SOP tersebut. Insya-Allah, kita harap yang terbaik,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan adakah pihaknya telah mendapat maklum balas daripada Majlis-Majlis Melayu berkenaan penggunaan kalimah Allah, beliau tidak dapat memberikan jawapan kerana perlu melakukan rujukan terlebih dahulu daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

“Insya-Allah, kenyataan rasmi akan dikeluarkan (selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja) ,”katanya. –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.