Laksana sistem pusingan kerja elak salah guna kuasa-KSN

77

6 APR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Mohd Zuki berkata tindakan berkenaan perlu berikutan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket kartel tender projek kerajaan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

“Justeru saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah.

“Saya juga menyokong penuh usaha untuk membanteras apa jua bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

“Saya telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP),” katanya katanya dalam satu kenyataan di sini hari.

Terdahulu, media melaporkan kes tersebut mula dikesan sejak 2014, dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM telah berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion, dengan penahanan tujuh individu termasuk ketua sindiket pada Ahad.

Ketua sindiket yang berumur 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada ‘orang dalam’ untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.