Agong perkenan kurnia darjah SUMW kepada empat kenamaan

28

6 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) kepada empat individu hari ini, bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Turut berangkat pada istiadat di Istana Negara itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama pada istiadat itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Mendahului senarai penerima adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas yang dianugerahkan darjah SUMW membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Penerima lain darjah kebesaran itu adalah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Annuar berkata, penganugerahan itu diberikan kepada tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada kemajuan Wilayah Persekutuan.

“Abdul Rahman berjasa mengukuhkan jalinan perniagaan serta industri antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang membuka peluang perniagaan baharu dan pelaburan bagi komuniti bidang terbabit.

“Juhar pula memainkan peranan penting menyuntik semangat yang dibawa dalam Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah adalah satu daripada rakan sekutu dalam kewujudan Malaysia.

“Kemajuan Sabah membolehkan Wilayah Persekutuan Labuan meluaskan rangka kemajuan ekonominya secara bersepadu dengan Sabah sebagai sebuah hab logistik, pengangkutan, minyak dan gas serta pelancongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Annuar berkata, Ragad Kurdi adalah penaung pelbagai organisasi kebajikan dan amal yang bergiat aktif dalam menghulurkan sumbangan serta bantuan kewangan, selain peralatan perubatan bagi menangani COVID-19.

“Mohd Ali banyak berjasa mengeratkan hubungan Melaka dan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berkembar dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.