Polis edar gambar Geng Nicky di pos kawalan sempadan

81

5 APRIL: Polis sudah mengedarkan gambar ahli kumpulan Geng Nicky kepada pasukan keselamatan  di pos kawalan sempadan negara bagi memastikan penjenayah terbabit tidak melarikan diri atau cuba memboloskan diri ke negara jiran.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata gambar ahli kumpulan ‘Geng Nicky’ yang diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee itu kini diedar kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal sempadan tanah air.

“Semua anggota dan pegawai PGA di pos kawalan di sempadan sudah diarahkan membuat pemantauan kes ini. Segala pergerakan mencurigakan akan dipantau termasuk cubaan keluar dari sempadan mengikut laluan tidak sah.

“Kesemua anggota turut diarahkan supaya sentiasa berwaspada dan melakukan pemeriksaan dengan lebih ketat di sempadan,” katanya pada Majlis Perasmian Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan, Nicky dan ahli kumpulannya kemungkinan berusaha melarikan diri ke luar negara selepas operasi memberkasnya pada 20 Mac lepas didakwa dibocorkan pihak yang menerima habuan daripadanya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan menggunakan laluan tikus di sempadan negara ini bagi melarikan diri daripada ditahan.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Nicky, 33, pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.