PKPD Kampung Juara, Pulau Tioman dilanjutkan 14 hari lagi

46

5 APRIL: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan selama 14 hari sehingga 20 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu diambil selepas agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat penilaian risiko serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM mengesahkan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan penduduk di kampung berkenaan dan sebanyak enam kes baharu direkodkan semalam.

“Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 513 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 53 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 137 individu ditahan atas lima jenis kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 114 dikompaun, 10 individu direman manakala 13 individu dijamin.

“Aktiviti pusat hiburan mencatatkan sebanyak 71 kesalahan, diikuti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (32), gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (19), penjaran fizikal (5) dan lain-lain (10),” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, pihak berkuasa menahan seramai empat pendatang asing tanpa izin (PATI), selain merampas tiga bot dan kapal serta empat kenderaan darat.

“Sebanyak 49 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan, manakala seramai dua PATI turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.