Patuhi SOP bagi memastikan sesi persekolahan selamat-Radzi

14

5 APRIL: Bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan secara selamat, pelajar, guru dan warga sekolah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata mereka perlu sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di sekolah dan semasa proses penyuraian selepas tamat sesi persekolahan bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.

“Kita sudah ada SOP cukup lengkap dan teratur, jadi apa yang penting adalah pematuhan, malah ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak supaya mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita tekankan kepada pihak sekolah setiap SOP ditetapkan itu mesti dipatuhi dan murid perlu sentiasa diingatkan supaya mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abu Bakar Baginda, Sungai Merab di Bandar Baru Bangi, Bangi sempena hari pertama pembukaan semula sekolah menengah untuk Kumpulan B tahun 2021, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Pembukaan semula sekolah menengah di seluruh negara secara bersemuka dimulakan semalam, membabitkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala, sekolah menengah dalam Kumpulan B, iaitu membabitkan negeri lain bermula hari ini.

Dalam kenyataannya itu, Radzi turut berpuas hati dengan perjalanan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan sekolah menengah, termasuk mengikut SOP ditetapkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.