Pandikar sokong GRS didaftar, bertanding PRU-15

311

5 APRIL: Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berpandangan semua pemimpin politik tanpa mengira anutan parti masing-masing perlu meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan mereka sekarang.

Pandikar yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menegaskan tindakan berkenaan perlu kerana rakyat Sabah sudah membuat pilihan untuk memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menerajui negeri terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, pada tahun lalu.

PANDIKAR

“Kaedah mengekalkan mandat terbabit adalah dengan tindakan politik matang iaitu dengan memastikan semua parti komponan GRS perlu bertanding atas tiket gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Justeru itu, dalam isu ini saya menyokong cadangan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Pengerusi Kelab Penyokong GRS) supaya gabungan itu didaftarkan secara sah seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Pandikar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Salleh supaya GRS didaftarkan secara sah dan kemungkinan menggunakan lambang sendiri untuk mengekalkan mandat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Salleh juga dipetik sebagai berkata, kunci kerjasama dalam kalangan parti komponen GRS ketika ini adalah semasa agihan kerusi Parlimen bagi menghadapi PRU-15.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu juga menyatakan sokongan agar kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus kekal kerana politik di Sabah sangat unik serta bersesuaian dengan kepentingan semasa.

Terdahulu, Pandikar berkata keadaan politik negara dan negeri Sabah sejak 2018 kini tidak mudah diramal seperti tahun sebelumnya.

“Ini terbukti apabila pada PRN Sabah ke-16, ramai pemerhati politik meramalkan Kerajaan Warisan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menang pilihan raya berkenaan dengan mudah.

“Alasan mereka ialah rekod tidak baik UMNO masih kekal dalam ingatan rakyat Sabah. Manakala BERSATU pula baru mengembangkan sayapnya ke Sabah adalah dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO.

“Bagaimanapun, ramalan berkenaan jauh meleset apabila gabungan parti UMNO, BERSATU, SAPP, Star dan PBS atas nama gabungan GRS berjaya memenangi PRN Sabah ke-16,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.