Risiko kes COVID-19 meningkat jika PRU-15 dilaksana awal

37

5 APRIL : Kes harian positif COVID-19 dijangka akan berlaku peningkatan sehingga di tahap yang membimbangkan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum 80 peratus rakyat menerima suntikan imunisasi wabak tersebut.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata adalah sukar untuk mengawal penularan pandemik COVID-19, jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini.

MUHAMMAD ARIFF

“Saya jangkakan akan berlaku pertambahan kes semula jika dilaksanakan lebih awal. Pertama, sebab kadar kepatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) juga menjadi persoalan. Potensi untuk berlaku ketidakpatuhan pada SOP pastinya akan ada, lihat saja sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini, berapa ramai yang telah dikenakan tindakan.

“Kedua, konsistensi pengurusan SOP juga masih kabur, soal double standard masih lagi menjadi isu, lihat saja ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah yang lalu yang gelombang kebolehjangkitan dalam komuniti bermula dari sana.

“Ketiga, dengan kadar yang menerima vaksin masih rendah yang mana jumlah barisan hadapan yang divaksin masih mencapai sasaran, kadar kebolehjangkitan pastinya tinggi, sebaiknya apabila sudah 80 peratus divaksin barulah diadakan PRU-15 iaitu sekitar awal tahun 2022 walaupun sudah ada desas-desus mengatakan PRU-15 bakal dilaksanakan pada tahun ini,”  katanya pada satu kenyataan menerusi WhatsApp kepada PN BBC Portal, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof mengesahkan PRU-15 tidak akan diadakan selagi tahap imuniti berkelompok iaitu 80 peratus rakyat mendapat suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan belum dicapai.

Beliau menegaskan, program imunisasi bagi rakyat lebih utama daripada PRU-15 dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih mementingkan nyawa manusia berbanding keperluan mengadakan PRU-15.

Tambah beliau, kerajaan menjangkakan antara 70 hingga 80 peratus rakyat akan menerima suntikan itu menjelang Februari atau Mac tahun depan.

Justeru, Muhammad Ariff menyambut baik cadangan kerajaan itu namun pematuhan SOP yang ketat masih diperlukan jika PRU-15 dilaksanakan selepas 80 peratus rakyat divaksin bagi mengelakkan jangkitan dalam komuniti berlaku.

Sementara itu, beliau menjangkakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membubarkan Parlimen pada tahun hadapan kerana kadar yang menerima vaksin setelah hampir tiga bulan masih lagi pada tahap yang rendah iaitu sekitar 700,000 yang baharu disuntik.

“Ini kerana pada tahun hadapan tempoh matang Parlimen telah tercapai dan sekiranya PRU tidak dijalankan, pastinya akan menimbulkan penentangan dan tekanan oleh parti-parti lain. Ketidakpuasan hati juga akan wujud yang mana ianya juga manifestasi daripada siri pertentangan politik sebelum-sebelum ini.

“Untuk PRU-15 dijalankan tahun ini, mungkin tidak. Ini kerana kadar kebolehjangkitan COVID-19 masih di atas paras 1.0. Yang mustahak untuk kali in adalah, kerajaan PN harus memastikan kadar kebolehjangkitan direndahkan memandangkan Darurat dan PKP juga telah diisytiharkan dalam masa yang sama.

“Sekiranya masih tidak berjaya, pastinya akan menimbulkan masalah kepada imej PN setelah darurat berakhir Ogos nanti,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.