Jangkitan COVID-19 babitkan sektor pendidikan meningkat

45

5 APRIL : Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berserta amalan norma baharu perlu diamalkan sepanjang masa dan tidak terhad di sekolah atau sektor pendidikan.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan berlaku peningkatan kluster jangkitan COVID-19 dalam sektor pendidikan, yang dikaitkan dengan rakan sekerja dan kontak sosial.

Tambahnya, pengurusan sekolah perlu mengadakan pemantauan berterusan dalam pematuhan SOP dan norma baharu terhadap guru, murid, pekerja di sekolah, pengawal keselamatan dan di kantin.

“Dua kluster jangkitan COVID-19 membabitkan sektor pendidikan mencatat jangkitan tertinggi, iaitu Kluster Paloh Rambai di Kelantan dan Kluster Jalan Hevea Scruciana di Selangor, membabitkan guru dan kakitangan sekolah serta kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Apabila kes positif dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di sektor pendidikan sama ada anak murid, guru atau kakitangan, katanya, pasukan kesihatan akan digerakkan untuk membuat siasatan kes atau kluster,”ujarnya.

Beliau  berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini

Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Jelas Dr Adham lagi, siasatan terhadap kes atau kluster yang melibatkan institusi pendidikan itu turut merangkumi pengesanan kes dan kontak, selain menyelia pihak sekolah dalam menjalankan pembersihan dan disinfeksi.

“Pihak PKD akan membuat penilaian risiko dan kesihatan secara menyeluruh bagi memastikan pengurusan kes dan kluster dapat dijalankan sebaik mungkin.

“Bagi tujuan langkah pencegahan dan kawalan, pihak PKD akan menasihatkan pihak pengurusan sekolah menutup sementara kelas yang terbabit dengan kes positif atau sekolah, bergantung kepada penilaian dijalankan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.