UMNO yakin PAS tidak akan tamat kerjasama MN

27

4 APRIL: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan optimis PAS akan tetap memperkukuhkan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan tidak akan menamatkan kerjasama bersama partinya itu.

Shahril menegaskan UMNO juga melihat kenyataan beberapa pemimpin tertinggi PAS kebelakangan ini bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua parti.

“Saya ambil tafsiran yang paling positif iaitu daripada kenyataan Presiden PAS dan Timbalan Presidennya sebelum ini yang mana mereka menegaskan masih mahu mempertahankan dan memperkukuhkan Muafakat Nasional.

“Jadi, itu satu isyarat yang bagi saya menunjukkan apa sahaja pendirian PAS mengenai Bersatu berkenaan dengan Perikatan Nasional (PN), mereka tidak ada lagi hasrat untuk berpisah daripada UMNO,” katanya pada sidang media selepas Siri Jelajah #SAMBUNG YANG TERGENDALA di Sungai Siput, Perak, lewat malam tadi.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Asia Barat berkata matlamat asal MN adalah untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

Dalam pada itu, Shahril yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO memberitahu hubungan sedia ada yang terjalin antara kedua-dua parti itu dilihat sudah kukuh, bukan sahaja dalam barisan pemimpin, tetapi juga di peringkat akar umbi.

“Hubungan yang sudah terjalin sampai ke bawah, ia bukan hanya hubungan antara pemimpin semata-mata tetapi di peringkat cawangan; kampung pun sudah ada semangat Muafakat Nasional.

“Yang mana saya rasa dalam Perikatan Nasional tidak mungkin berlaku kerana ia mendadak dan tidak dibina satu persatu sebagaimana dalam Muafakat Nasional. Saya ambil tafsiran paling positif,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata beliau menghormati pendirian PAS yang ketika ini mahu mempertahankan PN dan memperkukuhkan MN.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, UMNO tidak berganjak dengan ketetapan untuk tidak akan menyertai dan bekerjasama dengan PN dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini adalah contoh bagaimana UMNO dan PAS boleh menghormati pendirian masing-masing yang berbeza.

“Bagi PAS untuk mencapai matlamat yang terbaik adalah bersama dengan PN, manakala bagi UMNO pula adalah bukan dengan PN.

“Tetapi antara UMNO dan PAS hubungan itu masih diteruskan, selagi mana ia tidak berakhir… selagi itu kita cuba kukuhkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.