Stok makanan dijamin cukup sepanjang Ramadan

27

4 APRIL: Bekalan makanan untuk memenuhi permintaan umat Islam sepanjang Ramadan di negara ini dijamin mencukupi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kerajaan sentiasa membuat pemantauan dan pengukuran sebenar bagi memastikan stok makanan sentiasa cukup.

“Jadi orang ramai tidak perlu khuatir mengenai perkara ini, terutama bekalan bahan mentah, seperti ikan, ayam dan daging,” katanya.

AHMAD

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas di Tumpat, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Ahmad berkata, MAFI juga sudah membuat persiapan awal sempena Syawal bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Kementerian ini turut mengimport bekalan dari luar negara bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, MAFI kini merangka beberapa pelan bagi mengatasi kenaikan harga makanan ternakan.

Katanya, bagaimanapun buat masa ini, negara terpaksa bergantung kepada import bahan itu bagi memenuhi keperluan.

“Kita akan terus berusaha untuk mengatasi masalah terbabit dengan sebaik mungkin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.