Bayi dilahir ada antibodi COVID-19 selepas ibu divaksin

15

4 APRIL: Seorang bayi lelaki yang dilahirkan di Sepanyol, baru-baru ini, didakwa memiliki antibodi COVID-19, selepas ibunya menerima vaksin pandemik itu pada trimester ketiga kehamilannya.

Menurut laporan Akhbar negara itu, ABC, sampel daripada tali pusat bayi berkenaan yang dianalisis Hospital Son Espases, Mallorca, mengesahkan dia memiliki antibodi terhadap COVID-19.

Timbalan Pengarah Hospital Madrid, Manuel Grandal Martin, memaklumkan antibodi dimiliki bayi itu sama seperti individu sudah divaksin.

“Ketika ini, dia dilindungi dengan sempurna, namun belum diketahui berapa lama akan bertahan,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Kes bayi dinamakan Bruno itu adalah satu daripada kajian dijalankan berhubung kesan COVID-19 ke atas wanita hamil.

Menerusi kajian itu, 88 wanita hamil yang mendapat jangkitan COVID-19, termasuk mereka tidak mempunyai gejala dipantau.

Pakar lain percaya keputusan itu membuka ruang kepada kemungkinan untuk memberi vaksin kepada wanita hamil bagi mengimunisasi diri dan bayi mereka yang menerima antibodi melalui plasenta.

Setakat ini, maklumat mengenai kesan vaksin ke atas wanita hamil masih kurang, walaupun tidak ada bukti perkara itu mendatangkan bahaya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.