Projek MRT3 disambung semula pertengahan tahun ini

39

3 APRIL: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang yang akan dilaksanakan berdasarkan kajian dilakukan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mulai pertengahan tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kaedah pelaksanaan MRT3 akan diputuskan berpandukan perincian dikemukakan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selepas tertangguh ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

KA SIONG

“MRT Corp diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyiapkan kajian menyeluruh, membabitkan jajaran dan aspek kewangan agar pelaksanaannya lebih inovatif bagi kelulusan Jemaah Menteri.

“Kita akan maksimumkan manfaat kepada rakyat dan lebih praktikal dengan mengambil kira impak kos,” katanya pada sidang media selepas melawat operasi MRT Laluan Putrajaya di Damansara, hari ini.

Turut hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd Rahum Bakri.

Projek MRT3 merupakan kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2.

Ia membabitkan aliran pusingan yang melalui kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu, kajian berkenaan turut melibatkan perincian tentang kos projek sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

“Apa yang penting kita akan memaksimakan faedah kepada rakyat mepihat cara paling praktikal termasuk kos,” katanya.

Sementara itu, mengenai MRT Laluan Putrajaya Fasa I, Ka Siong berkata, prestasi kemajuan projek sepanjang 17.5km, menghubungkan Kwasa Damansara ke Kampung Batu itu sudah mencapai 97 peratus.

“Jajaran ini merangkumi 12 stesen dengan tempoh perjalanan sehala adalah selama 24 minit dan dijangka beroperasi pada Ogos depan.

“Baki jajaran ini dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral, merangkumi 24 stesen sepanjang 40.2km dengan tempoh perjalanan sehala selama sejam pula sudah mencapai 87 peratus dan dijangka dibuka di bawah Fasa II, pada Januari 2023,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menambah pihaknya dijadual mengadakan sesi libat urus Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Isnin ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.