KBS puas hati penonton patuhi SOP stadium

58

3 APRIL : Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilihat telah memastikan segala pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penonton dapat dilaksanakan dengan sebaiknya semasa perlawanan pasukan itu bertemu Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana berdasarkan tinjauan dibuat, JDT didapati telah melakukan pelbagai persediaan termasuk menyediakan seramai 260 petugas keselamatan untuk memantau pematuhan SOP.

Selain itu, menurut beliau, di pihak MFL, mereka berjaya membuktikan telah mengurus pembelian tiket secara dalam talian dengan berkesan.

“Hari ini (malam tadi) JDT dan penonton JDT telah membuktikan bahawa mereka benar-benar disiplin patuh SOP. Ini akan menjadi pembuka laluan yang mudah untuk stadium-stadium lain meneruskan perlawanan dengan menyaksikan kehadiran penonton.

“Saya akan meminta MFL dan JDT mendokumentasikan segala perjalanan SOP penonton di Stadium Sultan Ibrahim untuk dikemukakan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini perlu supaya dapat meyakinkan mereka berhubung kesiapsiagaan kelab bola sepak dalam mengendalikan pematuhan SOP digariskan,” katanya kepada pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam tadi.

Sementara itu, ditanya seawal bila KBS dijangka mengumumkan kebenaran semua penonton untuk masuk ke stadium, Reezal berkata secara kelulusannya, perkara itu sudah boleh dilakukan.

“Cuma dari segi kelab bola sepak itu sendiri, kementerian hendak lihat keupayaan mereka kerana ini juga melibatkan elemen penambahan kos.

“Namun dalam mesyuarat yang dilakukan MFL bersama semua pasukan, pada umumnya telah mempunyai persediaan namun persediaan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa supaya apabila berlangsungnya perlawanan mereka boleh patuh,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.