CWC akan tentukan gabungan politik MIC pada PRU 15

35

3 APRIL : Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan membuat ketetapan bagi menentukan kerjasama MIC dengan mana-mana gabungan politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan berkenaan diputuskan sebulat suara oleh Perhimpunan Agung MIC ke-74 hari ini selepas usul terbabit dibentangkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.

Saravanan berkata usul terbabit dibentangkan menurut Artikel 6.3 Perlembagaan MIC yang memberi kuasa kepada parti kaum India itu untuk melindungi dan mempromosikan kepentingan politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial masyarakat India di negara ini.

“CWC hanya akan membuat sebarang ketetapan selepas meneliti keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), suara akar umbi parti dan aspirasi rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung MIC di Klang hari ini.

Terdahulu, media melaporkan MIC akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meneruskan kerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehingga satu keputusan dibuat oleh Majlis Teringgi BN nanti.

Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata pada masa sama MIC tetap menghormati keputusan UMNO untuk memutuskan kerjasama dengan BERSATU dan menarik diri daripada kerajaan PN, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti atas dasar setiakawan dalam BN.

“Kita mengambil sikap tunggu dan lihat pergerakan politik untuk jangka masa terdekat. Ini kerana MIC yakin UMNO dan BERSATU dapat menyelesaikan perbezaan mereka sama seperti UMNO dan PAS menguburkan masalah mereka walaupun saling bermusuhan selama 40 tahun,” katanya.

Vigneswaran berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 yang turut disaksikan oleh Muhyiddin melalui aplikasi zoom hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.