BERSATU terbuka sertai MN demi penyatuan parti Melayu

70

3 APRIL : Ketua Penerangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengesahkan parti berkenaan masih berminat menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan UMNO dan PAS.

Wan Saiful berkata, tindakan berkenaan perlu kerana MN berupaya menyatukan semua parti Melayu dalam mewujudkan kestabilan politik negara.

Beliau berkata BERSATU sentiasa terbuka untuk menyertai MN kerana gabungan berkenaan sentiasa mengutamakan penyatuan orang Melayu dan parti lain.

“Sikap kita sentiasa terbuka (menyertai MN), kita sentiasa mendahulukan penyatuan, jadi kita amat mengkehendaki kesatuan yang ada, kalau boleh dapat dikekalkan (kesatuan dengan UMNO dan PAS dalam MN) kita nak dikekalkan jadi kita tak sekali-kali mengatakan kita tak nak bersatu dengan parti parti lain.

“Jadi agenda kita jelas kita nak supaya ada kesatuan dalam politik negara kita supaya kita boleh bentuk sebuah kerajaan yang stabil dan memastikan kestabilan itu membawa manfaat kepada rakyat keseluruhan.

“Fokus kita adalah kestabilan politik jadi dengan itu kita yakin kita boleh memberi khidmat lebih baik. Malah, dari dulu lagi kita dah menyatakan kesediaan kita menyertai MN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipengerusikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rumah Kelab Alumni UM di Petaling Jaya, petang tadi.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang semalam menuntut BERSATU tetap dijadikan ahli komponen MN disebalik penegasan UMNO mahu menamatkan kerjasama parti itu.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful turut menyambut baik cadangan MIC supaya UMNO mengorbankan 10 peratus kerusi mereka untuk parti komponen BN-PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau berkata  pintu rundingan masih lagi terbuka untuk memastikan tiada pertembungan antara BN-PN.

“Secara prinsip saya rasakan bahawa kalau kita boleh bincang di meja rundingan adalah lebih baik daripada bertembung. kita nak ramaikan kawan taknak ramaikan musuh jadi sebanyak mungkin kita usaha ramaikan kawan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.