PKPD di beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak, PKP di Tawau

83

2 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di satu lokaliti di Sabah dan dua lokaliti di Sarawak selama 14 hari, bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lokaliti itu di Sabah adalah Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan.

Katanya, manakala di Sarawak, lokaliti itu adalah Kampung Baji, Sarikei dan Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah.

ISMAIL

“Keputusan itu, katanya, dilakukan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi kes COVID-19 terbabit di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 290 ujian saringan yang dilaksanakan KKM di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah mendapati seramai 33 individu positif COVID-19.

“KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu m inggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah di bermula 3 April sehingga 16 April 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, di Kampung Baji, Sarikei, Sarawak, KKM mengesahkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh lima hari dan sehingga 31 Mac 2021, sebanyak 20 kes positif direkodkan di lokaliti itu.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD Kampung Baji, Sarikei, Sarawak bermula 3 April sehingga 16 April 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, di Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak, KKM melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak tujuh kes positif direkodkan di lokaliti berkenaan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti dalah tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula 3 April sehingga 16 April 2021,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan melaksanakan PKP di Tawau, Sabah selama dua minggu, selepas secara kumulatif, sebanyak 137 kes aktif dilaporkan, membabitkan beberapa kluster di daerah terbabit dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di Tawau, Sabah bermula 3 April sehingga 16 April 2021.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di lokaliti kes positif dan mengawal pergerakan penduduk di daerah berkenaan serta mengekang penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Berhubung jumlah kesalahan ingkar SOP, semalam, Ismail Sabri berkata, jumlahnya meningkat berbanding hari sebelumnya apabila seramai 100 individu ditahan dan daripada jumlah itu 91 individu dikompaun, manakala sembilan direman.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal, iaitu 89 individu, rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (10) serta lain-lain (1),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.