Masjid Syura tentukan masa depan PAS dalam MN

68

2 APRIL: Keputusan muktamad sama ada PAS akan kekal bekerjasama dengan UMNO menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) atau tidak akan diputuskan dalam Majlis Syura PAS tidak lama lagi.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan itu perlu selepas UMNO telah lebih awal membuat keputusan untuk menggunakan lambang BN dalam PRU akan datang.

Manakala, PAS masih mengkaji kesesuaian logo dan parti akan membuat keputusan setelah mendapat panduan Majlis Syura nanti.

“Bertolak kepada pendirian UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan BERSATU apabila parlimen dibubarkan dan ia telah menjadi keputusan seolah-olah ‘point of no return’ bagi UMNO, maka kini ramai pihak meluahkan usaha agar MN diperkukuhkan antara dua parti sahaja.

“Namun bagi PAS, asas pembentukan harus dilihat dalam kerangka semasa, bukan kerangka sebelum pembentukan Kerajaan PN.

“Kalau semua kita sepakat membentuk Kerajaan PN dan kita berjaya menumbangkan PH, dan kita tidak kisah pun soal kerusi yang lompat pada masa itu.

“Kita gembira atas muafakat ini dan rakyat juga gembira atas apa yang telah kita lakukan, kenapa kerjasama  ini perlu dipisahkan? Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama.

“Apakah kita rasa cahaya di hujung terowong yang dilihat cerah, maka lampu ditangan perlu dibuang? Apakah bila hujan berhenti, maka payung perlu dicampakkan?.

“Hebatkah kita kerana merasai kita kuat dengan ahli berjuta, lalu kita rasa dahulu sama dengan sekarang?” katanya dalam satu kenyataannya menerusi laman Facebooknya di sini sebentar tadi.

Tuan Ibrahim juga melontarkan persoalan apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding?, lalu berangan-angan akan pasti menang.

“UMNO dan PAS perlu kembali melihat semula tujuan utama mereka bermuafakat untuk menubuhkan MN selepas tewas dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

“MN diasaskan di saat PAS dan UMNO menjadi pembangkang. Pelbagai isu yang berlaku sama ada melibatkan kepentingan umat Islam dan Melayu yang terjadi pada masa itu melahirkan kerjasama yang erat dan ditambah dengan persefahaman politik dalam 10 pilihan raya kecil (PRK).

“Tujuannya agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang mengakibatkan PAS atau UMNO akan kerugian. Maka sekiranya UMNO masuk PRK maka PAS tidak akan menyertainya, begitulah sebaliknya.

“Muafakat politik ini berjalan di semua 10 PRK yang memperkukuhkan asas pembentukan MN,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata dalam pembentukan MN dinyatakan dengan jelas bahawa PAS dan UMNO adalah teras MN serta sedia menerima mana-mana parti politik, atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin bersama dalam usaha memperkukuhkan penyatuan ummah ini.

“Semuanya terjadi sebelum tumbangnya kerajaan PH. Namun atas usaha semua pihak dan kesepakatan semua sama ada PAS, UMNO, BERSATU, sebahagian PKR, maka terbentuklah Kerajaan PN.

“Kita raikan pembentukan ini dengan penuh kegembiraan. Rakyat menyambut baik walaupun kerajaan ini dibentuk dalam suasana COVID-19 mula melanda negara, kita hadapi bersama sebagai satu pasukan dalam kerajaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.