Malaysia-China tubuh Jawatankuasa Peringkat Tertinggi

44

2 APRIL: Malaysia dan China secara bersama menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi mengukuhkan hubungan baik dan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, terutama di era pasca COVID-19.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata persepakatan itu sudah dimeterai melalui

Memorendum Persefahaman (MoU) di Fujian, China yang ditandatangani beliau dan Menteri Luar China, TYT Wang Yi.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan sendiri beliau dan Wang Yi.

“Malaysia dan China amat bangga untuk mengumumkan hasil hubungan antara kedua-dua negara yang kembali pulih dan semakin akrab dalam setahun ini, justeru kita bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi.

“Jawatankuasa ini antara lain memfokuskan kesiapsiagaan dan respon terhadap pandemik, perdagangan dan pelaburan, komoditi, keselamatan makanan serta sains, teknologi dan inovasi.

“Selain itu, fasilitasi perjalanan dan inisiatif ‘Belt and Road’, malah saya dan TYT Wang Yi akan berganding bahu demi memastikannya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya menerusi muat naik di Facebook, hari ini.

Hishamuddin berkata, pertemuannya dengan Menteri Luar China itu amat bermakna dengan beberapa perbincangan positif dilakukan dan kesepakatan dicapai.

“Bukan sahaja mengenai pembentukan jawatankuasa ini, kami saling mengiktiraf iktiraf sijil vaksinasi digital atau sijil kesihatan COVID-19 bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan China apabila situasi mengizinkan.

“Kedua-dua negara juga sedia memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik antara Malaysia dan China, selain meningkatkan kerjasama vaksin, termasuk mempertimbangkan penambahan jumlah vaksin buatan negara itu ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut bersepakat melaksanakan pembukaan segmen Minyak Sawit Merah (RPO) di pasaran China serta memperkukuhkan usahasama di dalam bidang pelaburan serta peniagaan, termasuk sektor automotif.

“Kita juga bersetuju memanfaatkan ‘One Stop Centre’ yang sudah dilancarkan Malaysia, bertujuan memudahcara urusan pelancong perniagaan jangka pendek, termasuk dari China.

“Lawatan Timbal Balik Pemimpin Tertinggi kedua-dua negara ke Malaysia dan China juga akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.