Jualan Perodua naik 29 peratus suku pertama dipacu Ativa

14

2 APRIL: Jualan Perodua pada suku pertama 2021 naik 29 peratus kepada 57,911 unit kenderaan berbanding 44,977 unit yang dijual dalam tempoh sama pada tahun lepas berikutan pengeluaran meningkat untuk memenuhi permintaan terhadap semua modelnya, terutamanya Perodua Ativa yang baru dilancarkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan syarikat kepada anggaran 24,433 unit, disokong oleh permintaan yang tinggi terutamanya terhadap Ativa, yang menerima 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19 Februari.

“Pendaftaran Perodua melonjak sebanyak 47.3 peratus kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021,” katanya dalam kenyataan.

Zainal berkata daripada 14,574 tempahan Ativa yang diperoleh setakat ini, 4,345 unit telah dihantar sejak pelancarannya pada 3 Mac lepas, dan seperti yang dijangka, 67 peratus daripada permintaan setakat ini adalah untuk varian AV.

Ini menjadikan Perodua Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terlaris di negara ini pada Mac.

“Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,” katanya.

Dari segi pengeluaran, Zainal berkata Perodua telah menghasilkan 60,383 kenderaan pada suku pertama 2021 meningkat 23 peratus daripada 49,280 unit yang dihasilkan pada suku pertama 2020.

“Buat masa ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan cip semikonduktor, yang memberi kesan yang berbeza-beza kepada setiap pengeluar kenderaan pada skala global.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan niaga kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya.

Beliau berkata walaupun berdepan dengan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan sembilan peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua turut menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23 peratus daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20 peratus daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) pada tahun ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.