Fama mahu eksport Harumanis ke Eropah

15

2 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang untuk mengeksport mangga Harumanis ke negara Eropah dalam tempoh tiga ke empat tahun akan datang.

Pengerusi FAMA Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata sasaran untuk mengeksport ke negara Eropah berikutan potensi yang besar di samping memperkenalkan buah tempatan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Potensi harumanis boleh dikembangkan kerana permintaannya di dalam negara sahaja melebihi jumlah pengeluaran dan tidak mencukupi selain buahnya cukup eksklusif.

“Kita perlu ke arah modenisasi dan melihat lebih global supaya harumanis lebih terkenal dan boleh dimakan oleh manusia seluruh dunia seperti buah-buahan yang ada di Eropah termasuk epal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Kempen Membalut mangga Harumanis Perlis bagi Musim Pengeluaran 2021 di Ladang Harumanis Kampung Simpang Genti di Arau baru-baru ini.

Mohd Fasiah berkata buah ikon Perlis itu lebih berpotensi berbanding perusahaan sawah padi yang agak menurun dan untuk masa akan datang tidak mungkin petani boleh beralih kepada tanaman harumanis untuk dieksport ke luar negara.

Beliau yakin Perlis yang mempunyai tanah masih luas dan biologi tanah pertanian serta cuaca yang sesuai bagi produktiviti pengeluaran Harumanis, berupaya memperluaskan lagi pengeluaran buah itu.

Katanya beliau mahu mengambil iniasiatif ini melalui kejayaan sebuah badan khas dalam FAMA yang mengeksport durian beku dari Pahang dan Perak yang mampu bertahan sehingga lebih sembilan bulan dengan harga jauh lebih tinggi berbanding pasaran tempatan dan telah menemui peminatnya di China dan Eropah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.