WHO larang penggunaan ubat ivermectin untuk rawat COVID-19

381

1 APRIL: Ubat ‘ivermectin’ tidak harus digunakan bagi merawat pesakit COVID-19, tegas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Badan dunia itu mengulas berhubung isu ubat antiparasit yang murah itu digembar-gemburkan segelintir pihak dalam media sosial sebagai ‘rawatan ajaib’ untuk merawat COVID-19.

WHO dalam satu kenyataan, mengeluarkan garis panduan yang menekankan bahawa ‘ivermectin’ sepatutnya hanya digunakan ke atas pesakit COVID-19 dalam konteks ujian klinikal.

“Setakat ini, kepastiannya amat rendah dalam membuktikan keberkesanan ‘ivermectin’ mencegah kematian dan kemasukan ke hospital akibat COVID-19, selain berupaya menghapuskan virus itu daripada badan,” kata kenyataan itu.

Ketika ini, tular di media sosial pelbagai hantaran dan penulisan yang menyokong penggunaan ‘ivermectin’, malah keadaan itu didapati meningkat di Brazil, Perancis, Afrika Selatan serta Korea Selatan, ketika kerajaan serata dunia bertungkus lumus melaksanakan program vaksinasi.

Malah, COVID-19 mendorong lonjakan permintaan terhadap ubat itu, terutama di Amerika Latin.

Dalam garis panduan dikeluarkannya itu, WHO menegaskan, pihaknya mengesyorkan ‘ivermectin’ tidak digunakan ke atas pesakit COVID-19, kecuali dalam konteks ujian klinikal.

“Syor ini membabitkan pesakit dengan sebarang penyakit serius dan tempoh gejala,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.