Sabah benarkan solat terawih 8 rakaat di masjid dan surau

187

1 APRIL : Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan Sabah membenarkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di masjid dan surau di Sabah sepanjang bulan Ramadan berkuat kuasa 12 April ini.

Menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini, antara aktiviti masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan yang dibenarkan ialah solat Tarawih dengan lapan rakaat selain bacaan surah (surah lazim) atau ayat pendek namun tiada aktiviti tazkirah sepanjang pelaksanaan solat sunat Tarawih.

“Jamuan berbuka puasa dan jamuan sahur di masjid dan surau adalah tidak dibenarkan kecuali 12 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid atau surau sahaja, manakala moreh adalah dibenarkan secara berbungkus sahaja,” jelasnya.

Begitu juga Tadarus dan Khatam Al-Quran, Qiamullail dan Iktikaf di masjid dan surau juga dibenarkan untuk 12 orang AJK sahaja, kata Masidi lagi.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah menjelaskan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat di Sabah adalah dibenarkan di mana bilangan solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau adalah mengikut kapasiti masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

“Program dan aktiviti jabatan dan agensi agama negeri seperti Kaunter Amil Zakat dan agihan bantuan zakat dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dan surau, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Semua masjid dan surau hendaklah menjalankan semua garis panduan dan SOP yang dikuatkuasakan selain ditetapkan oleh pihak berwajib,” tegas beliau.

Statistik pematuhan penduduk di negeri ini terhadap SOP adalah sebanyak 97 peratus, dengan daerah Semporna, Sipitang dan Tenom mencatatkan kadar pematuhan terbaik.

Sabah hari ini mencatatkan 86 kes positif COVID-19 baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,853 kes. Satu kes kematian direkodkan di daerah Keningau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.