Kurangkan birokrasi, permudahkan proses bantuan rakyat

66

1 APRIL: Penjawat awam diminta mengurangkan birokrasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di luar bandar berjalan lancar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa memberi fokus memastikan perkara itu dilaksanakan dengan cekap dan mesra rakyat.

Tegasnya, langkah itu penting supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan sasar terkesan, terutama ketika COVID-19.

“Sebagai contoh, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mana-mana peraturan yang didapati tidak berkesan wajar diteliti semula dan ditambah baik.

“Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada para peniaga, pengusaha dan pelabur, malah setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.

“Saya sedar antara cabaran terbesar adalah penyampaian perkhidmatan kerajaan, bagaimana kita hendak menyampaikan perkhidmatan dan pelbagai bentuk bantuan, terutama kepada orang awam di pedalaman yang masih terbatas kemudahan, seperti infrastruktur asas serta capaian internet,” katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam di Sarawak.

Perdana Menteri hari ini memulakan lawatan rasmi dua hari ke Sawarak dan dijadualkan menghadiri taklimat Hala Tuju Kerajaan Negeri Sarawak serta mengadakan perjumpaan khas bersama penjawat awam di Hotel Waterfront di Kuching.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga komited dalam memacu transformasi digital ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR) sehingga menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

Justeru, katanya, beliau mahu penjawat awam mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam norma baharu supaya lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Saya berharap saudara-saudari dapat terus memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk memudahkan urusan masyarakat setempat dalam komuniti masing-masing, selaras agenda pemerkasaan sektor awam.

“Penggunaan teknologi secara meluas pasca COVID-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata, penjawat awam juga perlu memperkukuhkan budaya kerja berintegriti semasa menjalankan tugas harian.

Katanya, melalui pendekatan itu, produktiviti kerja dalam kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan supaya sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) tercapai, sekali gus melahirkan sebuah masyarakat sifar rasuah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.