Kerajaan Pusat sokong Sarawak jadi negeri termaju menjelang 2030

13

1 APR: Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan sokongan penuh kepada Sarawak untuk mencapai impian menjadi negeri termaju menjelang 2030.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata strategi dan perancangan kerajaan negeri itu selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 negara untuk mencapai kelestarian ekonomi serta sosial sejagat.

“Saya akan pastikan kita (Persekutuan) akan memberikan sokongan penuh kepada Sarawak untuk mencapai objektif sebagai negara termaju dalam negara.

“Dengan kekayaan sumber yang ada, ia mampu meletakkan Sarawak dalam arena global dan menyumbang faedah yang lebih besar kepada rakyat negeri ini khasnya industri pertanian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri dan persekutuan di Ranyai Ballroom, Hotel Waterfront di Kuching, Sarawak hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keutamaan Sarawak untuk membangunkan infrastruktur fizikal adalah langkah tepat bagi untuk memastikan kemakmuran ekonomi dicapai dengan pantas oleh penduduk di pedalaman.

Beliau berkata infrastruktur fizikal antaranya Lebuh Raya Pan Borneo dan teknologi digital melibatkan sambungan internet adalah perlu untuk memastikan kita mampu memperuntukkan ruang ekonomi yang mapan bagi rakyat menjana pendapatan.

“Sarawak mempunyai potensi yang sangat besar dalam perindustrian minyak dan gas, secara tidak langsung ini akan mempercepatkan usaha untuk maju ke hadapan berbanding di sesetengah negeri malah mungkin berbanding persekutuan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya memberitahu, kerajaan negeri tidak mempunyai opsyen lain selain memanfaatkan dana kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur asas di Sarawak.

“Walaupun lebih 65 peratus penduduk Sarawak menjalankan aktiviti perekonomiam dan aktiviti sosial tinggal di kawasan luar bandar, kita terus menjadikan ia satu keutamaan untuk memperuntukkan dana yang ada membangunkan infrastruktur utama bekalan air dan elektrik termasuk laluan pesisir”, katanya Abang Johari.

Tambah beliau, Sarawak berusaha untuk menyeimbang dan memaksimumkan sumber dalam negeri khasnya pertanian serta kekayaan sumber air melalui empangan untuk menghasilkan tenaga hidrogen sebagai ekonomi baharu selain memasarkan tenaga elektrik kepada Kalimantan Barat, Indonesia melalui sistem bergrid.

“Kita mencuba untuk memaksimumkan penggunaan IOT dalam industri pertanian menyokong penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Singapura (STATOS).

“Menjelang 2030, ekonomi hidrogen di Sarawak akan diperluaskan dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam masa yang sama membekalkan tenaga elektrik kepada negara jiran,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.