Harap MKT UMNO Teliti Surat Rayuan Saya-Tun Faisal

47

1 APRIL : Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berharap Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) agar meneliti dan membaca setiap isi surat rayuan yang telah dikemukakan kepada mereka, hari ini.

Tun Faisal berkata, menerusi surat berkenaan beliau menyertakan hujah-hujah balas dan petikan pembelaan diri semasa sesi tribunal.

“Saya beri surat ini secara terperinci, jadi saya sangat berharap dan merayu kepada ahli MKT untuk ambil sedikit masa dan baca apa yang saya tuliskan jadi setidak-tidaknya mereka boleh ‘reverse’ balik keputusan mengesahkan Lembaga Disiplin tempoh hari.

“Saya juga percaya gambaran yang salah telah diberikan seolah-olah ini masalah bahagian, jadi mereka tidak perlu ikut campur, itu adalah tidak benar.

“Kedua, soal bahagian itu bahagian lah memang tak payah campur tapi soal ‘judgement’ kepada saya perlu dibuat berdasarkan fakta. Sebab itu saya rayu untuk membaca semula hujah-hujah yang saya berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan surat rayuan kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk diserahkan kepada presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan menggantung keahlian Tun Faisal selama enam tahun.

Dalam pada itu, Tun Faisal memberitahu beliau turut menyediakan salinan surat rayuan bagi setiap ahli MKT selain akan mengirimkannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya akan lakukan tindakan susulan (follow up) selepas ini, mungkin dalam masa dua minggu atau seminggu lagi jika mereka sudah baca.

“Apa yang penting pada saya UMNO perlu ambil peluang untuk menunjukkan kepada ahli dan rakyat bahawa mereka bersikap adil dan bersifat terbuka serta demokratik dalam menerima pandangan berbeza daripada ahli UMNO.

“Cara kita mengendalikan pandangan ahli dan rakyat sudah berbeza, jangan kita mengguna kaedah autokratik atau cara lama kerana ini akan memberi persepsi negatif kepada parti,”katanya. 

Sementara itu, menerusi surat rayuan tersebut, Tun Faisal memohon Ahmad Zahid serta seluruh ahli MKT untuk menarik semula pengesahan terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti yang jelas tidak bersandarkan merit dan fakta.

“Tolong batalkan hukuman penggantungan selama enam tahun yang jelas zalim dan tidak masuk akal.

“Selain mengembalikan semula hak keahlian saya termasuk jawatan saya sebagai Ketua UMNO Cawangan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang saya menangi melalui proses demokrasi yang sihat,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.