Calon PM, TPM UMNO akan dipilih Jun Ini

32

1 APRIL: UMNO dijangka akan memilih calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekitar Jun ini, menerusi pemilihan oleh ahli UMNO di akar umbi.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata ramai pihak bertanya kepadanya tentang siapakah calon daripada UMNO bagi dua jawatan penting itu menjelang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya lihat ini secara positif. Ertinya ramai yg masih melihat UMNO antara parti yang perlu menampilkan calon pemimpin utama negara.

“Suka saya nyatakan UMNO ada caranya sendiri. Usah terlalu khuatir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh memberitahu, UMNO mempunyai tradisi dan perlembangaan sendiri yang menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja dan 0emilihan yang lalu iaitu pada 30 Jun 2018 akan tamat tempoh pada Jun tahun ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan, dan amat bergantung pada suara akar umbi, parti itu tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.

“Insya-Allah, calon PM dan TPM dari UMNO akan diputuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli  UMNO sendiri.

“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai Perdana Menteri dan  Timbalan Perdana Menteri apabila tiba masanya. Allah SWT menentukan segalanya,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran itu, Annuar turut berkongsi gambar-gambar beliau bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya mengadakan pemilihan parti sebelum PRU-15 bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu.

Beliau berkata, langkah tersebut juga akan membolehkan UMNO menghadapi PRU-15 dengan kepimpinan yang lebih jelas. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.