Pembantu peribadi Neelofa hadir beri keterangan

27

30 MAC : Pembantu peribadi selebriti popular, Neelofa, iaitu Nadiah Khairuddin, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dangi Wangi, Kuala Lumpur pada jam 11.40 pagi hari ini.

Dia hadir bagi memberi keterangan terhadap siasatan polis berhubung dakwaan acara pernikahan pengacara dan usahawan itu, gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Yang turut kelihatan hadir di IPD berkenaan atas tujuan sama adalah pemilik dan pengasas syarikat Reka Teemor, iaitu Faiz Sabari serta isterinya, Rozana Mumtaz yang dilantik sebagai pengurus acara pernikahan terbabit.

Nadiah semasa dihampiri pihak media ketika keluar pada jam 2 petang dari IPD itu, tidak memberi sebarang penjelasan dan terus berjalan bersama seorang wanita, dipercayai peguam menuju ke kenderaan.

Manakala, Faiz enggan mengulas secara lanjut berhubung keterangannya selama dua jam kepada polis, sebaliknya memberikan jawapan ringkas bahawa proses itu berjalan lancar.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Sabtu lalu.

Acara pernikahannya bagaimanapun didakwa tidak mematuhi SOP selepas tular di media sosial gambar menunjukkan jemputan tidak mengikuti ketetapan terbabit seperti diwajibkan pihak berkuasa.

Susulan itu, polis membuka kertas siatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mendapati acara berkenaan gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa saksi berhubung perkara itu, termasuk pengurus hotel yang menjadi lokasi majlis pernikahan pasangan terbabit.

Pada masa sama, polis memanggil Neelofa dan suaminya, keluarga serta penganjur majlis itu untuk hadir memberi keterangan di IPD berkenaan.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak hadir dan dipercayai berada di Pulau Langkawi, Kedah ketika ini untuk suatu urusan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.