PDRM tahan 2 Datuk Seri, 6 Datuk disyaki terlibat Geng Nicky

355

30 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu berpangkat ‘Datuk Seri’ dan enam lagi berpangkat ‘Datuk’ yang terlibat jenayah yang didalangi oleh Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee. 

Mereka merupakan antara 68 individu yang dipercayai merupakan ahli Nicky Liow atau lebih dikenali sebagai Geng Nicky telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahan wang haram.

Menyifatkan kumpulan itu sebagai ganas dan berbahaya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Geng Nicky dipercayai terlibat dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

Dalam operasi ini, sebanyak 70 serbuan dijalankan bagi mengesan dan menangkap ahli kumpulan ini yang diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berusia 33 tahun serta merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor.

“Daripada 118 diberkas, seramai 48 ‘orang kanan’ Nicky Liow ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012, 11 warga China dan seorang Myanmar di bawah Akta Imigresen serta lapan orang lagi didapati positif manakala 50 individu lagi dibebaskan.

“Kami turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru serta wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM773,145 selain kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM6.67 juta,” katanya pada sidang media Op Pelican 3.0 di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan dalam buruan itu disyaki mempunyai hubungan dengan ketua kumpulan kongsi gelap 14k, Wan Kouk Koi @ Broken Tooth.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati Kuok Koi disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) pada 9 Disember lalu kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram.

“Turut disenarai hitam adalah Persatuan World Hongmen History and Culture Association yang mempunyai kaitan rapat dengannya, selain melantik Nicky Liow sebagai naib presiden pada 4 Januari 2019.

“Selain pembabitan dengan Nicky Liow, Broken Tooth mempunyai kaitan dan skandal membabitkan pelaburan saham dalam ‘Inix Technologies’.

“Polis turut mendapati Broken Tooth mempunyi jaringan dengan elemen dadah antarabangsa ‘Tse Chi Lop’ yang ditangkap di Belanda pada 24 Januari lalu,” katanya. 

Selain itu, Abdul Hamid, berkata modus operandi ‘Geng Nicky’ diketuai ahli perniagaan itu menyasarkan pelabur dari China dengan menjanjikan pulangan berlipat kali ganda dalam pelaburan hartanah, produk kesihatan, forex serta mata wang kripto dikenali Wincoin serta Winbitex.

Tambahnya, individu berkaitan akan melabur dalam aplikasi WeChat dengan menggunakan WeChat Pay.

“Wang itu seterusnya akan dilaburkan bentuk mata wang kripto serta untuk judi dalam talian.

“Dalam usaha mengeluarkan wang itu, perkhidmatan pengurup wang dan ‘casino junket agent’ digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.