PAS Perak harap kerjasama tiga parti diteruskan hingga PRU15

44

30 MAC: PAS Perak berharap kerjasama antara parti itu, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang membentuk kerajaan negeri berkenaan, diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Setiausaha PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata kerjasama tiga parti itu membentuk suasana harmoni di negeri terbabit di peringkat pentadbiran dan kepimpinan akar umbi.

“Apa saya lihat kerjasama ketiga-tiga parti ini dalam mentadbir Perak sangat erat, sehingga hubungan ahli majlis dan jawatankuasa kampung berjalan dengan baik serta harmoni.

“Justeru, harapan besar kita adalah supaya kerjasama ini dikekalkan sehinggalah selepas PRU-15.

“Saya yakin ini bukan sahaja harapan besar PAS, malah rakyat turut mahu melihat parti besar ini bekerjasama dan bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Akmal berkata, dalam konteks kerajaan Perak, pendirian UMNO sepertimana disuarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Sabtu dan Ahad lalu, tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama antara tiga parti itu.

“Sama ada ini pendirian parti atau hanya cadangan daripada perwakilan, kita tidak pasti, tetapi tidak jejaskan hubungan baik yang kita bina di peringkat negeri,” katanya.

Ketika persidangan PAU 2020, perwakilannya memutuskan tidak meneruskan kerjasama politik dengan BERSATU pada PRU-15, selain menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, katanya, buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk mendedahkan jumlah kerusi akan ditandingi pada PRU-15.

Beliau berkata, tidak sesuai pihaknya untuk menyatakan perkara itu, terutama selepas UMNO memuktamadkan pendirian mereka.

“Mana-mana parti pun dah kenal pasti kerusi mana mereka nak tanding, sama jugalah jika tanya kepada PAS, kita sudah ada jumlah kerusi berkenaan, cuma kita akan maklum kemudian.

“Baru lepas perhimpunan (PAU 2020), tak kan lah tiba-tiba kita nak umumkan, biar ambil masa dahulu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.