Kesimpulan pakar kemungkinan besar kelawar punca COVID-19

151

30 MAC: Pasukan pakar antarabangsa yang ke Wuhan Januari lalu memutuskan besar kemungkinan COVID-19 merebak ke manusia daripada kelawar melalui haiwan perantara.

Mereka menolak berlakunya kebocoran virus dari makmal yang menjadi punca pandemik wabak tersebut.

Kesimpulan itu disifatkan sebagai di tahap ‘mungkin hingga sangat mungkin’, manakala teori yang mana virus terbabit terlepas dari makmal disifatkan sebagai ‘kemungkinan besar tidak terjadi’.

Laporan daripada misi antarabangsa ke Wuhan itu sudah lama dinanti-nantikan sejak pasukan pakar berkenaan meninggalkan China lebih sebulan lalu.

Kelambatan dalam penerbitan penemuan itu, yang dihasilkan dengan kerjasama rakan kerja mereka di China, dikatakan berpunca daripada masalah penterjemahan dan penyelarasan, meskipun timbul ketegangan diplomatik mengenai isi kandungan laporan terbabit.

Dalam satu sidang media di Wuhan pada 9 Februari, pakar dan rakan kerja mereka di China menegaskan masih belum dapat merungkaikan sepenuhnya asal usul virus COVID-19.

Namun, pakar percaya virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 berpunca daripada kelawar.

Satu daripada teori ialah virus terbabit merebak langsung daripada kelawar kepada manusia.

Laporan terakhir berkenaan menetapkan senario terbabit sebagai sesuatu yang ‘mungkin’ berlaku.

Ia juga mendapati senario yang lebih dipercayai boleh berlaku ialah virus terbabit merebak daripada kelawar ke haiwan lain yang kemudiannya menjangkiti manusia.

Namun, laporan itu tidak menolak kemungkinan penularan virus berlaku menerusi daging beku – teori kegemaran Beijing.

Ini memandangkan virus itu didapati dapat bertahan dalam suhu amat sejuk, lantas ‘penularan menerusi produk rantaian makanan atau produk sejuk dianggap satu kemungkinan’.

Akhir sekali, laporan terbabit mengkaji kemungkinan berlaku kebocoran dari makmal, misalnya, Institut Virologi Wuhan – satu teori yang disokong oleh pentadbiran bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.-AFP

Get real time updates directly on you device, subscribe now.