Jika berpecah, sukar untuk bergabung kembali- PAS Kedah

39

30 MAC: Semua pihak diminta kembali kepada seruan penyatuan ummah serta perpaduan dan bukannya misi untuk menyelamatkan parti masing-masing.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, apa yang disuarakan pada Persidangan Agung Umno (PAU) yang berakhir pada Ahad lalu merupakan suara ahli dan pemimpin parti berkenaan.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, perkara yang lebih penting dan utama bukan untuk menyelamatkan parti sebaliknya perlu bergerak satukan ummah.

“Kita sewajarnya konsisten dengan seruan penyatuan ummah dan bukannya untuk parti masing-masing sama ada PAS, UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).  Lebih besar daripada itu ialah untuk menyelamatkan ummah dan Islam,” katanya ketika ditemui di Alor Star, Kedah, hari ini. 

Terdahulu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) bersetuju untuk menyerahkan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentap tarikh bersesuaian bagi menarik sokongan secara ‘en bloc’ diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perwakilan juga bersetuju bahawa Presiden dan MKT boleh membuat keputusan berkenaan pada bila-bila masa dari sekarang jika kerajaan PN tiada indikasi untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ahmad juga memberitahu semua pihak sewajarnya tidak hanya memberi fokus kedudukan dan posisi masing-masing sama ada siapa menjadi ketua atau sebagainya.

“Sebaliknya kita memikirkan di manakah Islam di negara ini selepas ini. Keutamaan perlu diberi kepada masa depan agama dan anak-anak bangsa. Itu realiti ummah yang skopnya lebih luas.

“UMNO mungkin hanya melihat siapa akan menjadi Perdana Menteri, menteri dan parti mana menjadi dominan negara kerana perkara tersebut dilihat dalam kelompoknya sendiri,” katanya. 

Justeru, beliau turut mengingatkan semua pihak tidak terikat dengan skop kepartian masing-masing, sebaliknya berusaha memastikan Islam berada di posisi yang baik.

“Cukuplah 22 bulan Malaysia ditadbir DAP serta Pakatan Harapan (PH) dan jangan dibiarkan situasi berkenaan berulang lagi. Sekiranya sekali lagi kita berpecah tidak mustahil akan menerima nasib yang sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

“Adakah setelah PAS, UMNO dan Bersatu bergabung kita akan berpecah semula? Sekiranya berlaku perpecahan selepas ini, hendak bergabung semula tentu sukar dan mungkin sudah terlewat,” katanya. 

Oleh itu, Ahmad berkata semua pihak yang terlibat perlu mengukuhkan kesatuan kerana matlamatnya lebih besar berbanding kepentingan kecil parti tertentu.

“Saya juga yakin pemimpin dan ahli PAS konsisten serta senada memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) di Kedah sehingga berjaya membentuk kerajaan.

“Hasil penyatuan tiga parti tersebut kita berjaya menubuh kerajaan di Kedah dan dapat memberi khidmat yang baik kepada rakyat,”katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.