ASNB umum bayaran agihan pendapatan RM1.55 bilion

46

30 MAC:  Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 untuk lima dana.

Dana-dana tersebut adalah dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM), serta tiga dana harga berubah-ubah iaitu ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dalam kenyataannya memaklumkan, ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM488.2 juta yang memanfaatkan 459,416 pemegang unit dengan pegangan 11.5 bilion unit

Manakala ASM mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM851.2 juta yang memanfaatkan 559,222 pemegang unit dengan pegangan 21.3 bilion unit.

Sehingga 25 Mac lalu, ASB 2 dan ASM masing-masing mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM499 juta dan RM727.6 juta.

Menurut kenyataan tersebut, prestasi ASB 2 dan ASM ditanda aras berbanding Deposit Tetap 12-Bulan Maybank. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, ASB 2 dan ASM masing-masing telah mencatatkan pulangan tahunan sebanyak 4.25 dan 4 peratus, berbanding dengan 1.95 peratus yang dicatat Deposit Tetap 12-Bulan Maybank.

Bagi dana harga berubah ASNB ketiga-tiganya mencatatkan pulangan dua digit iaitu ASN Equity 3 (18.7 peratus), ASN Imbang 2 (17 peratus) dan ASN Sara 1 (10.8 peratus) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 yang didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti daripada prestasi terendah tahun lalu.

Kedua-dua kadar pulangan tersebut ditanda aras berbanding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan Deposit Tetap 12-Bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana.

Dalam tempoh yang sama, FBM KLCI mengukuh dari 1,351 mata ke 1,598 mata sebanyak 18.27 peratus berikutan peningkatan sentimen dengan pelancaran program vaksinasi di peringkat global dan jangkaan pemulihan ekonomi global.

Dengan pulangan ini, ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta bagi ASN Equity 3, iaitu 3.53 sen seunit kepada 86,306 pemegang unit dengan pegangan 2.2 bilion unit, manakala ASN Imbang 2 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM45.4 juta, iaitu 3.11 sen seunit kepada 85,147 pemegang unit dengan pegangan 1.5 bilion unit.

ASN Sara 1 pula mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM91.8 juta, iaitu 3.52 sen seunit kepada 85,776 pemegang unit dengan pegangan 2.6 bilion unit. Pulangan ini mewakili hasil dividen antara 3.15 hingga 3.95 peratus untuk setiap dana berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) masing-masing pada 25 Mac 2021.

Menurut ASNB, pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana ini diperoleh daripada keuntungan dana yang direalisasi, dividen dan pendapatan-pendapatan lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.