34 penguatkuasa dikenal pasti tali barut Datuk Seri Nicky

103

30 MAC: Seramai 34 anggota dan pegawai pelbagai agensi penguatkuasa termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersial yang didalangi oleh Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan teliti dan terperinci terhadap kesemua individu itu bagi mengumpul bukti untuk memastikan mereka terlibat dalam kegiatan terkutuk yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya akan membanteras perbuatan itu secara habis-habisan dengan menggunakan pegawai polis mahupun agensi lain penguatkuasa untuk menghalalkan perbuatan penjenayah di negara ini.

“Saya takkan biarkan ia berpanjangan sehingga melumpuhkan kriminal sistem keadilan jenayah yang dapat meresapi sistem menggunakan wang ringgit kepada untuk membeli pegawai-pegawai ini tadi. Kita akan tangkap pegawai-pegawai yang degil.

“Pegawai-pegawai yang masih hidup dengan khayalan dia seolah-olah dia boleh terlepas. Saya akan lihat sejak bila dia dibayar sama ada sewaktu saya menjadi Ketua Polis atau sebelum saya.  

“Kita akan perhalusi bank akuan dia dan sebagainya. Cukup bukti, kita tangkap dan kalau dia ambil waktu saya menjadi KPN, memang dia tidak cerdik dan tamak.

“Nasihat demi nasihat dah diberi, kawan-kawannya telah ada ditangkap namun masih degil nak buat lagi. Saya tak akan jemu dengan perkara ini. Mungkin kita tak dapat 100 peratus namun kita perlu halang agar penjenayah tidak masuk dalam sistem polis untuk mendapatkan perlindungan dari pasukan polis,” katanya menerusi sidang media Op Pelican 3.0 di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya sedang mengesan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang berusia 33 tahun dikesan dengan alamat terakhirnya ialah di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor.

“Pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

“Sindiket ini besar dan banyak membabitkan penipuan dan scam. Suspek adalah seorang yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguat kuasa.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jika Nicky Liow masih berada di Malaysia, Abdul Hamid tidak menolak perkara tersebut yang mempercayai suspek utama itu masih berada di negara ini berikutan rangkaiannya telah lumpuh hasil tindakan dari pihak polis.

“Dia dipercayai masih berada dalam negara. Jadi saya menyeru orang ramai kepada sesiapa mempunyai maklumat berhubung Nicky Liow, bolehlah menghubungi talian pegawai penyiasat di talian 0125209767 atau boleh melaporkannya di balai-balai polis yang terdekat.

“Saya memberi amaran melindungi individu itu merupakan satu kesalahan dan jika tertangkap akan terima padanya. Nicky kini merupakan buruan pihak polis dan dia dipercayai masih ada kerana adiknya telah ditangkap dan kesemua trangkaiannya telah lumpuh, Insyallah, kita akan dapat menangkapnya dalam sedikit masa lagi,” katanya.  – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.