Pesara tentera cuba selamat kanak-kanak ditemukan lemas

39

29 MAC : Seorang pesara tentera ditemukan lemas selepas dihanyutkan ombak, ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak dalam kejadian di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mangsa Juhairohafizan Juhari, 35, ditemukan pada jarak 50 meter dari tempat kejadian kira-kira 2.50 pagi tadi.

Beliau berkata Juhairohafizan merupakan mangsa kedua yang maut dalam kejadian cuba untuk menyelamatkan Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, yang turut hanyut dibawa arus ketika berkelah bersama keluarganya di pulau berkenaan.

Bagaimanapun katanya, Muhammad Aman Firas ditemui selamat oleh nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian, 11 malam tadi.

“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan, manakala mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, operasi SAR berkenaan ditamatkan pada 3.32 pagi selepas kesemua mangsa ditemui.

Semalam, dilaporkan, seorang lemas manakala dua lagi hilang dibawa arus dalam satu perkelahan yang bertukar tragedi di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok.

Mangsa pertama yang ditemukan lemas dalam kejadian itu adalah Mohd Sahudin Mat Shaah, 46.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.