Komuniti perlu jadi pejuang barisan hadapan lawan COVID-19

29

29 MAC: Komuniti perlu meningkatkan usaha dalam memainkan peranan sebagai pejuang barisan hadapan, bertujuan membantu menangani penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga pemberian vaksin COVID-19 dapat mencapai sasaran ditetapkan, negara masih mengharungi tempoh sukar dalam memerangi pandemik itu berdasarkan bilangan kes masih tinggi, walaupun kes positif baharu semakin menurun.

Katanya, usaha mengekang penularan wabak COVID-19 tidak dapat dicapai sekiranya tidak didukung setiap lapisan masyarakat.

“Justeru program Pemerkasaan Komuniti ini adalah senjata kita dalam usaha membendung penularan virus COVID-19 ini bersama-sama.

“Usaha ini juga selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang saya lancarkan pada 15 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.

Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang Februari 2022 bagi mengurangkan penularan wabak tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah, sedang dan akan menggerakkan beberapa inisiatif Pemerkasaan Komuniti bagi menghadapi ancaman penularan COVID-19, termasuk memperkenalkan Program Agent Basmi COVID-19 (ABC-19) melalui pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang dilaksanakan agensi kerajaan, kepimpinan komuniti dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Sehingga 23 Mac lepas, katanya, seramai 29,407 anggota agensi dan kepimpinan komuniti menyantuni lebih 1.325 juta rakyat melalui pelbagai program di lebih 22,166 kawasan tumpuan dengan keanggotaan ABC-19, sekali gus menyaksikannya bertambah melalui pembabitan sukarelawan NGO.

Jelasnya, pelbagai isu dan cabaran semasa menghadapi COVID-19 yang dihadapi komuniti memerlukan pendekatan kolektif inovatif dan kreatif, justeru pemerkasaan komuniti secara komprehensif amat penting sebagai usaha memerangi COVID-19.

“Kepimpinan komuniti merupakan tulang belakang dalam sesebuah komuniti.

“Contohnya penghulu, ketua kampung, ketua-ketua agama, ketua rumah panjang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli serta pemimpin lain masyarakat perlulah digerakkan bagi bersama-sama menjayakan usaha memerangi COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri  turut menggesa komuniti melaksanakan aktiviti pemantauan di kawasan masing-masing, seperti mengawasi sempadan mereka daripada dimasuki orang luar tanpa kawalan sebagai antara usaha mengekang penularan COVID-19.

Menurut Perdana Menteri, jika dilihat kepada statistik daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kes jangkitan dalam kalangan komuniti yang masih tinggi amat membimbangkan, malah lebih merisaukan individu dijangkiti tidak diketahui identiti mereka kerana tiada sebarang gejala ditunjukkan.

Justeru, Muhyiddin mahu segala medium dan platform komuniti digembleng agar komuniti dapat mengambil tanggungjawab menjaga persekitaran mereka tanpa memerlukan penguatkuasaan ketat kerajaan.

Pemimpin komuniti juga, tegasnya, perlu memastikan pematuhan ahli komuniti terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan memberi nasihat, teguran, panduan dan peringatan agar mereka sentiasa berwaspada serta secara tidak langsung, dapat membudayakannya dalam kehidupan seharian demi kebaikan bersama.

“Bagi mengoperasikan semua pendekatan ini, kerajaan mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui sekretariat Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah, menyelaraskan pelaksanaan ABC-19 di lapangan di seluruh negara.

“Saya sekali lagi menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus bermuafakat demi merealisasikan hasrat menamatkan COVID-19, selain memacu kembali pembangunan dan kesejahteraan negara kita sayangi ini, insya-Allah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.