Keputusan UMNO diharap tidak jejas MN – Pemuda PAS

83

29 MAC: Keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diharap tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional (MN) yang dirintis antara parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dan PAS.

Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata keputusan itu juga diharap tidak menjadi penghalang kepada agenda perpaduan ummah diperjuangkan PAS, khususnya bersama Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Meskipun UMNO sudah meluluskan usul untuk tidak bersama dengan Bersatu dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) dan akan menarik sokongan kepada kerajaan PN pada bila-bila masa, kami pemuda PAS terus komited untuk berunding.

“Perundingan ini demi agenda perpaduan ummah dalam kalangan anak muda bagi konteks lebih besar dan merentasi politik kepartian serta agenda mendapatkan kuasa semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi muat naiknya di Facebook bagi mengulas mengulas keputusan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, semalam yang meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Khairil berkata, kehadirannya bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam PAU menjadi bukti mereka serius memelihara hubungan PAS-UMNO yang sudah terjalin melalui MN.

“Kepada semua Pemuda PAS di seluruh negara, teruskan usaha murni terhadap penyatuan ummah. Ini adalah milik seluruh umat Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.