Isu kalimah Allah: Munaqasyah kedua dalam dua minggu lagi

25

29 MAC: Perbincangan kedua berhubung penggunaan kalimah Allah yang melibatkan pakar panel akidah dan undang-undang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diadakan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan khas atau munaqasyah itu adalah dari sudut perundangan dan memperkasakan apa juga fatwa berkaitan kalimah Allah.

“Hasil munaqasyah pertama berhubung isu berkenaan sudah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Mac lepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Kuala Perlis  hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lepas memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.