Hospital swasta akan dibenar beli vaksin COVID-19

79

29 MAC: Kerajaan akan memberi kebenaran kepada hospital swasta untuk mengadakan rundingan perolehan vaksin COVID-19 dengan syarikat pengeluar.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan hospital swasta berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, hospital swasta perlu berdepan realiti bahawa bekalan vaksin COVID-19 seluruh dunia ketika ini tidak mencukupi.

VAKSIN COVID-19

“Sebagai orang yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini, saya nak beri gambaran terhadap harapan hospital swasta dalam menguruskan perolehan vaksin kelak.

“Jika mereka andaikan bahawa apabila kerajaan beri kebenaran untuk membeli vaksin daripada syarikat pengeluar, bekalan akan diterima dengan cepat, mereka perlu berdepan realiti bekalan ini di seluruh dunia kini tidak mencukupi, malah pasaran vaksin paling cepat mungkin suku ketiga atau keempat baru diperoleh,” katanya pada sidang media Perkembangan PICK, hari ini.

Khairy yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, justeru, sekiranya orang berada membayangkan mereka boleh mendapatkan suntikan COVID-19 segera dengan membayarnya, anggapan itu tidak tepat.

“Mungkin dalam tanggapan mereka, suntikan vaksin bagi golongan berada yang mampu bayar ini bakal diterima seawal bulan ini atau bulan depan, tetapi kena ingat bekalan vaksin tidak mencukupi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.