UMNO sedia berunding dengan mana-mana parti bentuk kerajaan

95

28 MAC: UMNO bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti bergabung dan membentuk penjajaran baharu atau ‘reset’ politik dan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum k-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata reset politik berkenaan hanya akan dilaksanakan selepas UMNO/ Barisan Nasional (BN) menjadi parti yang stabil, kukuh dan dominan dengan memenangi kerusi paling banyak dalam PRU-15 nanti.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata tindakan reset politik atau penjajaran baharu politik itu ada kaitan dengan kestabilan dan keharmonian rakyat.

“Jika dahulu, negara tidak stabil kerana menghadapi rusuhan kaum. Pada kali ini, meskipun tidak ada pergaduhan kaum, ketidakstabilan politik menyebabkan negara terjebak ke kancah kejatuhan ekonomi. Apa yang telah kita bina selama ini hancur lebur.

“Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina ‘political reset”’ yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini? Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Berikutan itu Ahmad Zahid berkata biarpun UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti parti itu wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air.

“Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan dan untuk itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini.

“UMNO harus kembali kepada fitrah asalnya. UMNO memimpin bukan untuk dipimpin. UMNO memerintah bukan untuk diperintah. UMNO harus berdiri megah memperkasakan Barisan Nasional,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata reset politik bukan satu perkara baharu, malah pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah Malaysia.

“Mari kita mengimbau sejarah penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974, selepas berlakunya tragedi kemusnahan perpaduan kaum yang menjadi detik hitam pada tahun 1969 di negara kita. Ia mengakibatkan kestabilan dan keharmonian yang dibina sejak merdeka berkecai di tengah jalan.

“Sesungguhnya penubuhan Barisan Nasional itu adalah reset politik yang pertama. Malah situasi yang menuntut reset politik sebegini pernah dialami dalam menangani krisis politik di Sabah dengan penubuhan UMNO Sabah menggantikan USNO pada tahun 1991.

“Perlu kita hayati landskap politik negara ini yang sangat dinamik. Selepas PRU-14, kita lihat perubahan kerajaan negeri di Johor, Melaka, Perak dan Sabah adalah bukti nyata. UMNO kembali menerajui kerajaan di tiga buah negeri berkenaan dan menjadi pimpinan kedua di negeri di bawah bayu. Inilah reset politik yang telah berlaku dan sedang kita alami,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.