UMNO Pahang mohon diberikan kuasa autonomi tentu hala tuju

76

8 MAC: UMNO Pahang menuntut diberikan mandat dan kepercayaan untuk mendapat kuasa autonomi bagi menentukan kaedah, hala tuju perjuangan, mengikut acuan sendiri berikutan kejayaan mereka mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pihaknya yakin bahawa Muafakat Nasional (MN) akan mampu menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen dan sekurang-kurangnya 38 kerusi Dewan Negeri, sekali gus menyumbang kepada mempertahankan Kerajaan Negeri dan pembentukan Kerajaan Pusat kelak.

Selain memperkukuhkan MN, Wan Rosdy berkata beliau sedar  antara resepi kejayaan ialah dengan memberikan keutamaan kepada rakyat, kerana setiap tindak tanduk dan prestasi kita, sentiasa dinilai oleh rakyat.

“Sebab itulah, kami sentiasa berusaha memastikan, setiap kelompok rakyat sentiasa didampingi, serta mendapat pembelaan yang sewajarnya. Ini termasuklah, melibatkan masyarakat di bandar, di desa, petani, nelayan, peniaga, orang Asli, masyarakat Felda, anak muda, kakitangan kerajaan, golongan wanita sehinggalah kepada imam dan bilal. Pendek kata, kami akan terus menjadi pembela dan jurubicara rakyat di negeri Pahang.

 “Kami sentiasa memikirkan masa depan, dan usaha menambah baik kehidupan mereka. Maka tidak hairanlah, jika kita lihat Kerajaan Negeri Pahang sentiasa terkehadapan, ketika rakyatnya menghadapi kesusahan, termasuklah ketika wabak pandemik COVID-19 dan banjir besar baru-baru ini,” katanya yang  juga Menteri Besar Pahang ketika berucap di sesi perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata UMNO Pahang berpendirian, sekiranya kerjasama UMNO dan PAS diteruskan hingga ke Pihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, bukan sahaja Pahang mampu dipertahankan, tetapi Putrajaya juga mampu dimiliki.

Menurutnya, bagi UMNO Pahang, persepakatan dalam Muafakat Nasional (MN) adalah satu-satunya wadah dan wahana yang sewajibnya, menjadi obor perjuangan serta ramuan utama, dalam menentukan kejayaan gemilang kita, pada PRU-15 kelak.

“Setelah mengalami beberapa siri kekalahan di PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan di PRK Parlimen Port Dickson, ditambah pula dengan pelbagai tekanan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan. Pahang mengambil ketetapan, untuk bergerak secara lebih serius dan formal, mengenai jalinan kerjasama antara BN dan PAS melalui MN.

“MN Pahang, sesungguhnya, telah ‘well tested and strongly proven’ (dengan izin), sepertimana kejayaan cemerlang calon-calon Barisan Nasional daripada UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Chini.

“Contohnya, di Cameron Highlands sewaktu PRU-14, calon BN hanya mampu memperolehi majoriti 597 undi sahaja. Tetapi, dengan terjalinnya kerjasama MN, sewaktu PRK kita telah mendapat majoriti besar sebanyak 3,238 undi.

“Ternyata, keputusan PRK Cameron Highlands ini, telah menjadi faktor pengubah, atau ‘game changer’ kepada landskap politik tanah air daan akhirnya, menjadi penentu hala tuju hubungan UMNO dan PAS,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.