PKPD: 3 kawasan ditamat, 2 dilanjut dan 1 dilaksana

64

28 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Pahang, Sabah dan Sarawak akan ditamatkan mengikut jadual, iaitu esok dan lusa.

Kawasan itu adalah Pulau Tioman, Rompin, Pahang yang akan tamat esok,  Daerah Nabawan, Sabah (lusa) dan Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching, Sarawak (lusa).

Bagaimanapun, PKPD di sebuah kawasan di Pulau Tioman iaitu Kampung Juara dilanjutkan selama lapan hari bermula 30 Mac hingga 6 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat di Pulau Tioman kerana sehingga kini, daripada 1,340 ujian saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 55 kes positif COVID-19 direkodkan.

Bagaimanapun, katanya, KKM mengesahkan terdapat kes baharu dikesan dalam kalangan penduduk di Kampung Juara, Pulau Tioman dengan 32 kes positif dilaporkan setakat ini, manakala 32 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang pada 29 Mac 2021 seperti dijadualkan, kecuali di Kampung Juara yang dilanjutkan tempoh PKPD bermula 30 Mac sehingga 6 April 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD di Daerah Nabawan pula dibuat susulan KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta kes terakhir dilaporkan adalah pada 26 Mac 2021, iaitu satu kes.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKP di Daerah Nabawan, Sabah pada 30 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata, berhubung PKPD di Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching, Sarawak, sehingga kini, KKM menjalankan 3,764 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes positif COVID- 19 direkodkan.

“KKM mengesahkan kluster membabitkan kedua-dua lokaliti ini terkawal dan kesemua kes positif dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), selain kontak rapat diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching, Sarawak 30 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan melaksanakan PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, selama 14 hari.

Keputusan itu, katanya, dilakukan selepas KKM hari ini melaporkan situasi kes pandemik terbabit di lokaliti berkenaan.

Menurut Ismail Sabri, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di situ dengan sebanyak 25 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kg. Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan bermula 29 Mac sehingga 11 April 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni dan mengawal pergerakan serta penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan turut membuat keputusan melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat esok sehingga 14 hari.

Sehingga kini, katanya, KKM melaksanakan 3,787 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 834 kes positif COVID- 19 direkodkan.

Justeru, katanya, KKM mengesahkan masih berlaku jangkitan membabitkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir dilaporkan pada 25 Mac 2021, namun tidak merangkumi anggota dan ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara berkenaan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 30 Mac sehingga 12 April 2021 kecuali Kuarters Kakitangan Penjara Tapah yang ditamatkan pada 29 Mac 2021,” katanya.

Berhubung jumlah kesalahan ingkar SOP, semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 107 individu ditahan dan daripada jumlah itu 89 individu dikompaun, manakala 18 direman.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah aktiviti pusat hiburan, iaitu seramai 75 individu, tiada penjarakan fizikal (24), gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (dua) dan lain-lain (enam). – Oleh FAIZATUL FARHANA

Get real time updates directly on you device, subscribe now.