Perbalahan UMNO-Bersatu buka peluang PH kembali berkuasa

59

28 MAC: Perbalahan dan pepecahan dalam kesatuan membabitkan parti politik Melayu antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menguntungkan pembangkang terutama DAP dan PKR.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata perbalahan antara UMNO dan Bersatu akan membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh PKR dan DAP kembali memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin telah mengatakan dengan jelas dan tegas bahawa Perikatan Nasional bersedia bertanding di semua kerusi sekiranya UMNO berkeras tidak mahu berunding untuk mempertahankan kesatuan politik Melayu yang ada sekarang.

“Pandangan ini saya utarakan juga kepada semua peserta Dialog Penerangan Bersatu peringkat negeri Selangor yang baru tamat sekejap tadi di Wyndham Hotel Klang.

“Dalam konteks negeri Selangor, dan sempena Dialog Penerangan peringkat negeri Selangor sebentar tadi, saya nyatakan keyakinan saya bahawa PN boleh mengambil alih Selangor dan mempertahankan Putrajaya.

“Sudah pasti kita perlu kerja keras. Tetapi rakyat boleh menilai keikhlasan dan kesungguhan kita dalam PN ini untuk berkhidmat dan menjaga kebajikan mereka.

“Dalam konteks nasional pula, sudah pasti kita perlu bersedia dan perlu berusaha memperkasa jentera parti untuk pertandingan berapa penjuru sekalipun. Kita perlu teruskan usaha menjaga kesatuan politik Melayu. Kesatuan ummah yang telah dibina dalam PN ini mahal harganya.

“Jika kita berpecah, yang akan menghidu peluang dan keuntungan ialah DAP dan PKR melalui PH. Mereka memang mahu undi Melayu berpecah supaya DAP dan PKR dapat kembali membawa agenda mereka dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata Bersatu tidak pernah mahu memecahkan kesatuan politik Melayu, sekali gus membuka ruang untuk PKR dan DAP kembali berkuasa.

“Bersatu sentiasa menyeru kepada penyatuan agar kestabilan negara dapat diwujudkan dan dikekalkan, dan agar struktur asas kuasa politik negara dapat dikekalkan.

“Tetapi jika perlu, seperti yang ditegaskan oleh Tan Sri Muhyiddin, kita sesekali tak akan undur dari perjuangan ini dan kita akan pastikan agenda perjuangan tetap dijulang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.