Kes baharu COVID-19 meningkat semula, Sarawak tertinggi

22

28 MAC: Selepas tiga hari merekodkan penurunan, kes baharu COVID-19 bertambah 103 kes, menjadikan sebanyak 1,302 kes naharu dilaporkan hari ini, menyaksikan Sarawak mencatatkan angka tertinggi dengan 426 kes.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik terbabit di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 341,944 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes tiga angka, adalah Selangor dengan 256 kes, Pulau Pinang (212) dan Johor (176).

“Kuala Lumpur pula mencatatkan 58 kes baharu, Sabah (38), Kelantan (34), Pahang  (32) dan masing-masing 23 di Kedah serta Perak.

“Lima negeri menunjukkan pertambahan kes satu angka, iaitu Negeri sembilan dengan sembilan kes, Labuan (enam), Melaka (lima) dan masing-masing dua di Terengganu serta Putrajaya, manakala Perlis tiada kes baharu,” katanya

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster yang dilaporkan tamat hari ini adalah sebanyak 14 kluster, manakala kluster baharu, tiga kluster.

Bagi kumulatif kluster aktif, katanya, sebanyak 381 kluster direkodkan dan kumulatif kluster ditamatkan pula adalah 966 kluster yang menjadikan jumlah kluster keseluruhan adalah 1,347 kluster.

Menurut Dr Noor Hisham, tiga kluster baharu itu, masing-masing membabitkan kluster tempat kerja di Selangor, komuniti Kelantan) dan pusat tahanan (Johor).

“Di Selangor, kluster ini adalah Kluster Ladang Sungai Pelek, manakala di Kelantan, Kluster Patek dan di Johor, Kluster Pagar Bukit Chagar,” katanya.

Sementara itu, katanya, empat kes kematian direkodkan, membabitkan kesemuanya warganegara, kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 169 kes dan kes memerlukan bantuan pernafasan (76 kes).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.