Presiden ada kuasa tentukan siapa pembahas – Najib

138

27 MAC :  Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, adalah hak Presiden parti untuk menentukan siapa pembahas yang akan berbahas isu-isu yang dibawa setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlansung.

Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya timbul dan semua pihak perlu menerima kuasa yang diperuntukkan kepada Presiden parti.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya tentang dakwaan PAU 2020 kali ini hambar ekoran pembahas-pembahas di perhimpunan kali ini telah ditentu dan dipilih oleh Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Presiden UMNO memiliki autonomi menentukan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) agar berjalan dengan lancar termasuklah pembahas yang mengambil bahagian.

“Itu hak Presiden dan pendapat yang kita kongsi bersama. Apa pun kalau tak bersetuju, kita kena terima hakikatnya itu sistem kita. Presiden ada kuasa untuk menentukan pembahas-pembahas,”katanya ketika ditemui di PAU di PWTC, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dilihat sebagai tindakan tidak menghormati Parlimen.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu seharusnya dihormati kerana telah mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen.

Menurut beliau, ini merupakan ketetapan Parlimen, di mana pada prinsipnya mana-mana yang telah diluluskan oleh Parlimen lebih-lebih lagi atas sebulat suara patut dihormati dan dilaksanakan.

“Keputusan Parlimen dibuat berdasarkan kepada persetujuan semua parti, masa itu Pakatan Harapan (PH) berkuasa, Barisan Nasional (BN) pun bersetuju masa itu.

“Bila kita bersetuju atas sebulat suara, maknanya kuasa mutlak adalah Parlimen dan tak boleh kita menidakkan kuasa Parlimen,”katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran perkembangan dan situasi semasa negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, SPR sebelum ini berkata, laporan awal Undi-18 akan tersedia pada September tahun ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.