Orang tidak bersalah ‘dibunuh’ dengan berita palsu

101

27 MAC : Agak pelik ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin dari Pejuang, telah membuat laporan polis pada 18 Mac yang menggesa pihak berkuasa menyiasat khabar angin RM500 juta telah dibayar kepada BERSATU untuk digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang melalui seorang peguam terkemuka yang telah membantu Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Sejak bila polis mesti menyiasat khabar angin? Adakah Malaysia sedang menuju ke arah negara mesra khabar angin di mana setiap khabar angin yang dilaporkan kepada polis mesti disiasat? Ini berbeza dengan meminta polis menyiasat dakwaan yang berasaskan fakta.

Ia satu pembaziran sumber negara untuk setiap khabar angin disiasat oleh polis. Laporan polis yang dibuat secara demikian pada dasarnya mirip dengan mengatakan, “lupakan saja keperluan memberikan bukti fakta, biar saja polis menyiasat”. Sekiranya ini dibolehkan, banyak khabar angin boleh dijadikan peluru untuk menyerang lawan anda.

Khabar angin yang tidak dibuktikan dengan fakta merupakan satu fitnah. Lantaran itu, Al-Quran menyifatkan “Fitnah itu lebih buruk daripada pembunuhan”.

Khabar angin yang menjadi asas laporan polis itu disebarkan buat pertama kalinya oleh bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam melalui siaran video Facebooknya pada 16 Mac, dan ia kemudian menjadi viral.

Inti dakwaan Lokman adalah peguam terkemuka, Rosli Dahlan, telah menerima hampir RM2 bilion, atau 10% yuran guaman untuk kerja yang dilakukan syarikatnya dalam mendapatkan kembali kira-kira RM20 bilion wang 1MDB, sambal menyindir BERSATU mungkin telah menerima sogokan sebanyak RM500 juta dari yuran tersebut.

Rosli Dahlan

Dan yang sangat membingungkan ialah setelah menyatakan semua dakwaan ini, Lokman mengakui: “Maklumat ini yang saya terima adalah khabar angin,” tetapi dalam pada masa yang sama kemudian beliau sebagai seorang Muslim berkata, “Tetapi khabar angin ini mesti dijawab oleh Peguam Negara (AG), sama ada khabar angin itu benar atau tidak. “

Semua ini menunjukkan perlunya undang-undang berita anti-palsu diperkenalkan, jika tidak, orang yang tidak bersalah akan “dibunuh” melalui pembunuhan watak yang lebih buruk daripada pembunuhan secara terang-terangan. Lebih buruk lagi, apabila politik kepartian didasarkan khabar angin yang merupakan sinonim berita palsu.

Persoalannya ialah kenapa Pejuang mengizinkan Adunnya membuat laporan polis berdasarkan khabar angin? Jawapannya ialah Pejuang dengan hanya empat anggota parlimen (AP) bukan lagi kekuatan yang harus diperhitungkan dalam politik Malaysia.

Perseteruan yang sedang berlangsung antara ketua Pejuang Dr Mahathir Mohamad, dengan presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai siapa yang seharusnya menjadi perdana menteri telah melemahkan kedua-dua parti, jika tidak pembangkang.

Tetapi Pejuang yang paling terjejas kerana Anwar masih mempunyai 88 AP yang menyokongnya, sementara Mahathir hanya mempunyai empat.

Menyedari skandal 1MDB adalah isu utama semasa PRU14 yang berjaya menggulingkan pentadbiran Najib Razak, sekaligus mengakhiri pemerintahan BN selama lebih 60 tahun, Pejuang memerlukan satu lagi isu utama untuk menggerakkan pembangkang menggunakan mesej kempen serupa semasa PRU15 untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang dipimpin perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Laporan polis Sallehudin berdasarkan khabar angin itu ibarat ledakan pertama yang boleh mencetuskan isu utama ala skandal 1MDB 2.0. Tetapi ini adalah isu utama yang tidak kukuh kerana semua orang tahu penyambungan semula rundingan dengan Goldman Sachs pada pertengahan tahun lalu telah memberi nafas baru dalam kempen Malaysia mendapat semula aset 1MDB.

ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin

Ini kerana perbincangan telah terhenti sejak pertengahan 2018 kerana silap langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya yang meninggalkan rundingan dengan Goldman Sachs, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan kerjaan Abu Dhabi dalam pelbagai peringkat terbengkalai.

Penyambungan semula rundingan tahun lalu menandakan percubaan terakhir antara kedua-dua pihak untuk menghasilkan penyelesaian berbilion dolar.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan AG Idrus Harun secara aktif terlibat dengan para pegawai DOJ dan Goldman Sachs semasa rundingan untuk menyelesaikan masalah utama dalam pemulihan aset.

Titik perubahan berlaku pada Mei apabila Kuala Lumpur memberi isyarat ia telah bersedia untuk menyertai inisiatif penyelesaian global yang dipimpin DOJ untuk mendapatkan penyelesaian dengan pihak lawan yang terdiri dari pemodal buruan Low Taek Jho, Syarikat Petroleum Pelaburan Antarabangsa (Ipic) Abu Dhabi yang menjamin bon 1MDB berjumlah AS $6.5 bilion, dan Goldman Sachs.

Kerajaan PH sebelumnya telah menarik diri dari inisiatif yang dipimpin oleh DOJ itu kerana telah diyakinkan oleh perunding utamanya bahawa Malaysia akan dapat nilai penyelesaian yang lebih tinggi dari Goldman Sachs dan Ipic melalui kes undang-undang di UK dan Malaysia.

Tetapi penasihat undang-undang kanan Muhyiddin berpendapat tiada jaminan kerajaan akan berjaya dalam kes di mahkamah itu. Di sinilah Rosli memainkan peranan penting dalam rundingan yang menjana pemulihan aset AS$3.9 bilion (RM16 bilion) untuk Malaysia.

Walaupun kerajaan PH sebelumnya telah berikrar untuk memulihkan lebih US$7 bilion, namun AG ketika itu, Tommy Thomas telah menasihatkan Mahathir bahawa matlamat  pemulihan AS$3.9 bilion adalah angka yang realistik.

Tetapi dalam rundingan dengan Goldman Sachs, Thomas hanya dapat persetujuan untuk penyelesaian hanya US$1.5 bilion dari Goldman Sachs, tetapi beliau tidak berkesempatan memberi nasihat kepada Mahathir mengenai tindakan selanjutnya, kerana kerajaan PH runtuh pada Februari 2020, bersama dengan peletakan jawatan Thomas tidak lama kemudian.

Sambil bekerja rapat dengan AG baru dan Menteri Kewangan, Rosli Dahlan berjaya mendapatkan penyelesaian bernilai AS$3.9 bilion dari Goldman Sachs.

Menurut Zafrul, kerajaan memperoleh penyelesaian yang jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan Goldman Sachs sebelumnya, iaitu AS$1.75 bilion termasuk cukai AS$ 164 juta (bermaksud jumlah bersih yang ditawarkan oleh Goldman Sachs sebelumnya hanya AS$1,586 bilion).

Pasukan guaman yang diketuai Rosli juga telah mendapatkan penyelesaian dengan AMMB Holdings Bhd (Ambank) sebanyak RM2.83 bilion dan Deloitte PLT (RM324 juta) berhubung dengan kemelut 1MDB.

Dan menurut The Edge, penyelesaian dengan firma audit KPMG dan firma undang-undang Wong & Partners berkaitan dengan skandal 1MDB juga boleh dijangkakan.

Mengenai desas-desus Bersatu menerima sogokan RM500 juta, ia hanya sekadar berpolitik (politicking) memandangkan PRU15 hampir tiba dan jika desas-desus ini mendapat daya tarikan, ia akan menjadi isu utama dalam PRU15.

Bagi kebanyakan parti politik, ada cara mudah mengumpul dana untuk pilihan raya umum – menggerakkan ahli atau penyokong kuat mereka yang kaya untuk menyumbang dana. Sekiranya sepuluh penaja kaya raya ini rata-rata menyumbang RM10 juta setiap orang, RM100 juta sudah siap sedia untuk PRU15.

Ini kemudian dapat ditambah dengan aktiviti pungutan dana di peringkat nasional, negeri, bahagian atau cawangan.

Oleh itu, tidak perlu mendapat sogokan sebanyak RM500 juta. Tambahan pula, sogokan politik sangat berkaitan dengan politik naungan (politics of patronage) melalui konsep panglima perang politik (warlord-ism). Dan kita tahu parti mana yang mempunyai panglima perang terbanyak!

Kelmarin, Rosli Dahlan telah membuat laporan polis terhadap Lokman dan Sallehudin, dengan mengatakan bahawa tidak benar beliau dilantik untuk bertindak untuk kerajaan dalam kes 1MDB kerana beliau bertindak untuk 1MDB dan bukan Putrajaya.

Beliau menggesa polis untuk menyiasat kedua-duanya di bawah beberapa seksyen Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 4 Akta Hasutan.

Ini adalah tindakan bijak oleh peguam itu dengan tidak menuntut saman fitnah kerana jika mereka didakwa dan didapati bersalah, mereka akan masuk penjara.-Oleh Jamari Mohtar

Get real time updates directly on you device, subscribe now.