Muhyiddin elak berbahas politik, kini masa tumpu pada rakyat

41

27 MAC: Perdana Menteri meminta ahli politik di negara ini supaya mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik peribadi dan kepartian.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan itu, termasuk membantu menyelesaikan masalah pandemik COVID-19 dan menyempurnakan pemberian vaksin, selain pengukuhan ekonomi rakyat.

Katanya, beliau bukan tidak mahu berpolitik dan berbahas mengenainya, namun keperluan asas membabitkan rakyat perlu menjadi keutamaan ketika ini.

“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tidak boleh berbahas, sudah hampir keseluruhan kehidupan saya adalah dalam politik. Boleh saya nak berpolitik dan berbahas dengan sesiapa sahaja tetapi itu saya elakkan, buat masa ini kerana rakyat.

“Saya hendak elak begitu bukan saya takut tetapi kerana rakyat resah, hidup susah, hendak makan tidak ada duit, makan tidak cukup dan alas perut. Saya tidak tahu kenapa parti politik tidak prihatin,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, Bandar Universiti Pagoh, Muar, Johor hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Perikatan Nasional (PN), kata Muhyiddin, bukan tidak mementingkan kerusi kerana tanpanya tidak akan tertubuh kerajaan, cuma kepentingan rakyat perlu didahulukan buat masa ini berbanding berpolitik.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN sedia bertanding di semua kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika UMNO terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi.

Tegasnya, beliau juga tidak kisah sama ada akan berlaku pertembungan banyak penjuru kerana itu adalah politik.

Muhyiddin berkata, PN juga tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO memutuskan untuk tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15.

“Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen, jika menang bentuk kerajaan, tidak mengapalah.

“Namun jika UMNO mahu ambil semua, saya (PN) pun hendak ambil semua. Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh sebab ini politik,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengulas ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan semua kerusi UMNO adalah milik parti itu, malah tidak akan sesekali dilepaskan dan UMNO tidak akan mengalah serta memperjudikan mana-mana kerusi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.