Penyeludup rokok cuba rasuah polis agar dilepas

18

26 MAC: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Pinang semalam berjaya membongkar taktik seorang lelaki menjadikan sebuah stor dalam kebun koko sebagai tempat menyimpan rokok seludup di Kampung Jawi, Pulau Pinang, semalam.

Stor itu ditemui selepas polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun di kawasan perumahan Taman Sri Aman, Sungai Jawi, Seberang Perai pada jam 6.30 petang.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, wanita tersebut ditahan ketika menuju ke sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai menjadi tempatan simpanan sementara sebelum rokok tersebut dijual.

“Berpandukan pada maklumat wanita itu pihaknya menyerbu sebuah stor di dalam kebun koko di Kampung Jawi, Sungai Jawi yang membawa kepada penemuan 1,940 karton pelbagai rokok bernilai RM264,750.

“Selepas 30 minit membuat pemeriksaan di stor berkenaan tiba-tiba seorang lelaki tampil mengaku pemilik stor terbabit. Ketika serbuan itu, suspek turut menawarkan wang sogokan sebanyak RM10,000 agar tiada tindakan diambil.

“Susulan itu, kita menahan suspek selain menyita wang yang disogokkan,” katanya pada sidang media di Batu Uban, Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

Dalam pada itu, Rosman memberitahu pihaknya turut menyita sebuah kereta serta motosikal yang dianggarkan bernilai RM34,000.

Tambahnya, kedua-dua suspek itu dipercayai rakan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka sudah lama aktif dalam kegiatan haram itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua mereka direman sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.